suria

Pegawai kanan Khazanah Nasional Berhad positif Covid-19

Mangsa dilaporkan sedang menerima rawatan di Hospital Sungai Buloh.

SEORANG pegawai kanan pengurusan Khazanah Nasional Berhad antara mangsa terbaharu disahkan positif wabak koronavirus (Covid-19).

Perkara itu turut disahkan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) itu dalam satu kenyataan petang Ahad.

Menurut syarikat itu lagi, pekerja berkenaan kini masih menerima rawatan di Hospital Sungai Buloh.

“Khazanah kini sedang giat bekerjasama dengan pihak berkuasa kesihatan dan pengurusan premis pejabat kami untuk mengambil langkah sewajarnya demi memastikan kesihatan dan keselamatan kakitangan terjamin.

“Ini termasuk membantu pihak berkuasa kesihatan mengenal pasti individu yang sudah berhubung dengan kakitangan berkenaan,” katanya.

Katanya, Khazanah turut memohon maaf atas sebarang kesulitan yang berlaku ketika langkah pencegahan dilaksanakan.

Lelaki berusia 52 tahun itu mempunyai sejarah perjalanan ke Shanghai, China pada pertengahan Januari lalu.

Mangsa kemudiannya mengalami demam dan sakit tekak pada 27 Februari lalu.

Pada Ahad, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengesahkan terdapat empat kes baharu jangkitan virus Covid-19.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, jumlah pesakit baru itu diperolehi sehingga jam 12 tengah hari Sabtu menjadikan 29 kes dilaporkan setakat ini.

Selain itu, tiga kes lain membabitkan seorang wanita warga negara Malaysia berusia 20 tahun yang juga seorang jururawat pelatih, seorang lelaki warga negara Malaysia berusia 45 tahun dan seorang wanita warga negara Malaysia berusia 35 tahun.

Dr Noor Hisham berkata, empat kes terbaru itu menjadikan jumlah kumulatif kes Covid-19 sebanyak 29 kes iaitu 17 individu dalam kalangan kes Patient-Under-Investigation (PUI), 10 individu dalam kalangan kontak rapat dan dua dalam kalangan rakyat Malaysia yang dibawa pulang dengan Misi Bantuan Kemanusiaan.

Artikel Sebelum

Artikel Lain