suria

Bekas ahli PKR nafi jadi pengkhianat, dakwa ada pihak cuba jatuhkan Tun M

Azmin antara 11 yang mengumumkan keluar PKR pada Isnin.

BEKAS Ahli Parlimen PKR termasuk Datuk Seri Azmin Ali menafikan tuduhan mengaitkan kumpulan mereka sebagai pengkhianat.

Kumpulan itu bagaimanapun menyifatkan pengkhianat sebenar merupakan pihak yang berusaha menjatuhkan Tun Dr Mahathir Mohamad di tengah penggal.

ARTIKEL BERKAITAN: Senarai 11 ahli PKR umum keluar parti

"Kempen ini telah dimulakan sejak beberapa bulan yang lalu dengan kekerapan meningkat dari semasa ke semasa sehingga mengalihkan pandangan rakyat daripada usaha untuk memberikan tumpuan kepada agenda pemulihan ekonomi dan reformasi institusi," ujr kumpulan itu menerusi kenyataan pada Isnin malam.

Kenyataan itu diedarkan selepas mereka mengadakan mesyuarat di sebuah hotel lima bintang di Petaling Jaya.

Terdahulu, kumpulan 11 Ahli Parlimen itu mengumumkan perletakan jawatan sebagai ahli PKR dan membentuk blok bebas di Parlimen.

Kenyataan itu ditandatangani Azmin (Gombak), Zuraida Kamaruddin (Ampang), Datuk Saifuddin Abdullah (indera Mahkota), Baru Bian (Selangau), Datuk Kamaruddin Jaafar (Bandar Tun Razak), Datuk Mansor Othman (Nibong Tebal), Datuk Rashid Hasnoon (Batu Pahat), Datuk Seri Santhara Kumar (Segamat), Ali Biju (Saratok), Willie Mongin (Puncak Borneo) dan Jonathan Yasin (Ranau).

Mereka turut menegaskan bahawa wujud usaha terancang sewaktu mesyuarat Majlis Presiden PH pada Jumaat lalu untuk menyingkirkan Dr Mahathir dengan memaksanya memberi tarikh peralihan kuasa kepada presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim.

"Kami yakin bahawa percubaan memaksa Perdana Menteri menentukan tarikh peralihan kuasa sebagai usaha jahat untuk menjadikan Perdana Menteri sebagai lame duck PM," ujar kenyataan itu lagi. - The Star.

Datuk Seri Azmin Ali, PKR

Artikel Lain