suria

Pelancong wanita dari Wuhan individu ke-19 disahkan positif Covid-19

Pelancong wanita berusia 39 tahun dari Wuhan, China, merupakan individu ke-19 disahkan positif koronavirus Disease 2019 (Covid-19) di negara ini. Gambar sekadar hiasan. Foto: Bernama

SEORANG pelancong berusia 39 tahun dari Wuhan, China, merupakan individu ke-19 disahkan positif koronavirus Disease 2019 (Covid-19) di negara ini.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata wanita itu adalah rakan kepada kes-14 dan anak kepada kes-16; yang kini kedua-duanya sedang menerima rawatan di wad isolasi Hospital Kuala Lumpur (HKL).

ARTIKEL BERKAITAN: Kes ke-18 positif koronavirus: 22 kontak rapat dikesan babit 3 ahli keluarga, 19 anggota kesihatan

ARTIKEL BERKAITAN: Pemuda tempatan bekerja di China, individu terbaharu positif koronavirus

"Wanita itu tiba di Malaysia dari China pada 25 Januari dengan empat wanita lain," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Dr Noor Hisham berkata sebaik sahaja dua kes terdahulu dikesan positif (iaitu kes-14 dan kes-16), masing-masing pada 5 Februari dan 7 Februari 2020, wanita itu telah diletakkan di bawah Perintah Pengawasan dan Pemantauan.

"Semasa di bawah pengawasan, dia mula mengalami gejala seperti batuk dan demam pada 12 Februari.

"Dia kemudian dimasukkan ke Hospital Kuala Lumpur. Ujian pengesanan dan pengesahan Covid-19 yang dijalankan ke atasnya telah dilaporkan positif pada hari yang sama," ujar Dr Noor Hisham.

Dr Noor Hisham berkata wanita itu telah diletakkan di wad pengasingan dan kini berada dalam keadaan stabil.

Daripada 19 kes yang disahkan di Malaysia, 13 kes adalah warganegara China manakala enam adalah rakyat Malaysia.

Sementara itu tiga pesakit, kesemuanya warganegara China, telah pulih dan dibenarkan keluar hospital. - THE STAR

pelancong, Wuhan, Covid-19

Artikel Lain