Sahut tugas di Stadium Nasional, 3 imam bergegas naik LRT ke Bukit Jalil – “Syukur, doa penyokong kemenangan memihak Harimau Malaya diizinkan” - Semasa | mStar

Sahut tugas di Stadium Nasional, 3 imam bergegas naik LRT ke Bukit Jalil – “Syukur, doa penyokong kemenangan memihak Harimau Malaya diizinkan”

(gambar kanan) Tiga imam dari Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, Ustaz Ridzuan (dua, kanan), Ustaz Ashraf (kanan) dan Ustaz Anas (belakang, kiri) menyaksikan perlawanan Malaysia menentang Thailand pada aksi Kumpulan G Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 di Stadium Nasional Bukit Jalil. Foto ihsan Ustaz Ridzuan (Gambar kanan) Foto Bernama

PENYOKONG skuad Harimau Malaya tersenyum puas pada malam Khamis apabila pasukan negara menewaskan gergasi Asia Tenggara, Thailand 2-1 dalam aksi keempat Kumpulan G Pusingan Kedua Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 di Stadium Nasional, Bukit Jalil.

Namun, sebelum bermulannya aksi pemain bola sepak di padang, tiga imam ditugaskan Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan (PMWP) bagi membantu penonton mengerjakan solat Isyak berjemaah di stadium berkenaan.

ARTIKEL BERKAITAN: Harimau Malaya tumbangkan Gajah Perang di Bukit Jalil

Menurut mufti, Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri, tiga imam tersebut juga sedia membantu ‘ekor Harimau Malaya’ mengenai kemusykilan tentang fiqh musafir.

Ketiga-tiga imam yang diberi tanggungjawab itu dikenali sebagai Ustaz Ridzuan, Ustaz Ashraf dan Ustaz Anas.

Pemain Malaysia ketika melalui Ultras Malaya pada aksi Kumpulan G Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 di Stadium Nasional Bukit Jalil. Foto Bernama

Bercakap kepada mStar, Ustaz Ridzuan memberitahu, beliau terharu menyaksikan penyokong-penyokong Harimau Malaya tidak melupakan tanggungjawab sebagai orang Islam dalam keterujaan mereka untuk menyaksikan perlawanan yang cukup sengit itu.

Ustaz Ridzuan atau Ridzuan Awang berkata, majoriti jemaah di surau berdekatan dengan LRT Bukit Jalil adalah anak-anak muda yang mana segelintir pihak sering melabelkan mereka dengan perkara-perkara yang negatif.

“Rata-rata jemaah memakai jersi kuning hitam kerana selepas solat, mereka terus ke Stadium Nasional untuk menyaksikan perlawanan antara Malaysia menentang Thailand.

“Majoriti jemaah dalam kalangan penyokong Harimau Malaya di surau terdiri daripada anak-anak muda, malah anak-anak kecil berusia 11 dan 12 tahun tu.

“Kapasiti mungkin dianggarkan 200 orang pada satu-satu masa tapi penyokong tak putus-putus keluar masuk untuk menunaikan solat berjemaah,” katanya kepada mStar.

Sama ada di surat berdekat LRT Bukit Jalil mahupun kemudahan solat di Stadium Bukit Jalil, penyokong Ultras Malaya menunaikan solat. Foto Twitter fiqriroslan

Ustaz Ridzuan yang juga ketua penolong mufti di PMWP berkata, walaupun ada semangat kesukanan dan patriotisme terhadap negara, tetapi penyokong mempunyai jati diri sebagai orang Muslim.

Malah katanya, beliau pernah menyaksikan pemain skuad Harimau Malaya sebelum ini bersolat terlebih dahulu sebelum memulakan permainan.

Ustaz Ridzuan berkongsi pengalamannya untuk menjadi imam dan mengikuti perlawanan di Stadium Nasional, bersama Anas Ahmad Shukri (Ustaz Anas) dan Muhammad Ashraf Sulaiman (Ustaz Ashraf), masing-masing merupakan pegawai penyelidik PMWP.

Ustaz Ridzuan.

“Kami diminta ke Stadium Nasional, Bukit Jalil pada pukul 5.30 petang semalam (Khamis) dan terus bergegas naik tren ERL dari Putrajaya ke Terminal Bersepadu Selatan (TBS) pada pukul 6.20 petang, bagi mengelakkan kesesakan lalu lintas berikutan hujan lebat dan waktu puncak pada petang semalam.

“Kemudian ambil tren LRT dari TBS ke Bukit Jalil. Kami tiba di LRT Bukit Jalil pukul 7.20 petang dan masa tu sudah masuk waktu solat Maghrib, dan solat di surau dekat LRT Bukit Jalil bersama anak-anak muda dan penyokong Harimau Malaya.

“Kami tiba di surau, solat baru mula dengan diimamkan oleh imam lain... juga anak muda yang merupakan penyokong Harimau Malaya. Saya kemudian menjadi imam untuk solat Isyak.

“Saya bersama penyokong turut mendoakan kesabaran dan keselamatan pasukan Harimau Malaya semasa menentang pihak lawan dan mendoakan agar memperoleh kemenangan. Dan syukur diizinkan Allah SWT, kemenangan berpihak kepada pasukan Harimau Malaya,” katanya sambil menambah turut menyaksikan perlawanan Malaysia-Thailand selepas solat Isyak.

Wakil Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan mengimamkan solat di Stadium Nasional Bukit Jalil sempena perlawanan final pertama AFF Suzuki 2019 antara Malaysia bertemu Vietnam pada Disember tahun lalu.

Menurut Ustaz Ridzuan, selain surau LRT Bukit Jalil, penyokong Harimau Malaya juga menunaikan solat di ruang yang disediakan di Stadium Nasional.

Jelasnya, ia merupakan kali kedua pihak Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan hadir ke Bukit Jalil untuk mengimamkan solat bersama penyokong Harimau Malaya, dengan kali pertama di Stadium Nasional semasa perlawanan final pertama AFF Suzuki 2018 antara Malaysia bertemu Vietnam pada Disember tahun lalu.

“Kami akan berbincang dengan pihak pengurusan Stadium Nasional, Bukit Jalil dan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) agar memperbanyakkan lagi ruang solat di beberapa bahagian stadium bagi memudahkan para penyokong menunaikan solat pada hari perlawanan, selain disertai wakil-wakil daripada Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan di setiap bahagian,” katanya.

Artikel Sebelum

UMP terajui usaha perkasa TVET di negara ini

Artikel Berikut

Klik

default image

15 prinsip tulang belakang untuk capai matlamat WKB2030

LIMA belas prinsip panduan digariskan berasaskan tiga aspek penting iaitu pembangunan untuk semua, menangani jurang kekayaan dan pendapatan serta negara bersatu, makmur dan bermaruah.

default image

Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 sasar rapatkan jurang pendapatan rakyat... ini fakta penting yang anda perlu tahu

EKONOMI negara akan distruktur semula menerusi Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 (WKB 2030).

default image

Jom kongsi idea! Penduduk bandar diajak beri maklum balas draf Pelan Pembangunan KL

TRAJEKTORI perumahan dan komersial Kuala Lumpur diberikan perhatian dengan mendraf Pelan Pembangunan Kuala Lumpur 2040 (PPKL 2040).

default image

Jurang ekonomi penduduk bandar dan desa cabaran utama WKB 2030

JURANG ekonomi yang besar di antara kumpulan pendapatan, etnik serta kawasan luar bandar dan bandar antara cabaran besar yang dihadapi negara.

default image

WKB 2030: Ke arah masa depan rakyat dan negara yang lebih cerah

WAWASAN ini menjamin kemakmuran dan kekayaan akan dinikmati bersama tanpa mengabaikan tanggungjawab membela masyarakat bandar dan desa yang berpendapatan rendah serta miskin.

Artikel Lain