suria

Bayi 9 bulan lemas dalam baldi

Mangsa dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Jalan kebun petang Khamis.

SEORANG bayi lelaki berusia sembilan bulan maut dipercayai lemas dalam baldi berisi air di dalam tandas sebuah taska di Jalan Kebun di Shah Alam tengah hari Khamis.

Difahamkan, mangsa, Abdul Rayyan Mijan, ditemui dalam keadaan kebiruan dan tidak sedarkan diri oleh penjaga taska berkenaan, selepas didapati tiada di dalam bilik.

Menurut sumber, pengasuh dikatakan lupa untuk menutup pintu bilik air sebelum mangsa dipercayai merangkak masuk ke bilik air berkenaan.

Ibu mangsa yang dikenali sebagai Royani bergegas ke taska terbabit selepas menerima panggilan bahawa anaknya tidak sedarkan diri.

“Abdul Rayyan ditemui dalam keadaan kebiruan dan disahkan meninggal dunia sebaik tiba di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), Klang.

“Mangsa seterusnya dibawa di Jabatan Forensik HTAR untuk dibedah siasat dan selamat dikebumikan Tanah Perkuburan Islam Jalan Kebun petang tadi (semalam),” katanya.

Katanya lagi, Royani yang juga ibu tunggal menghantar anak lelakinya itu dalam keadaan sihat pada pagi kejadian, namun tidak menyangka itu kali terakhir dia dapat memeluk anaknya.

Sementara Ketua Polis Daerah Shah Alam Asisten Komisioner Baharudin Mat Taib ketika dihubungi berkata, pihaknya sedang menyiasat kes berkenaan bagi mengetahui punca kejadian. - Sinar Harian

bayi lemas, taska

Artikel Lain