suria

Ibu, abang kandung dipercayai dera remaja OKU direman

Dua beranak ini direman selama empat hari bermula Ahad.

SEORANG wanita dan anak lelakinya yang disyaki mendera dan mengurung seorang remaja perempuan Orang Kurang Upaya (OKU) berusia 14 tahun di luar rumah di Kampung Gial, Arau dekat Kangar, direman empat hari bermula Ahad.

Perintah reman dikeluarkan Penolong Pendaftar Mahkamah Kangar, Monica Joseph Gaisah, pagi Ahad.

Ketua Polis Daerah Arau, Superintendan Nanda Maarof, berkata perintah reman ke atas ibu dan abang kandung mangsa dilakukan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001.

“Dua beranak berusia 40 dan 15 tahun itu direman bagi membantu siasatan berhubung dakwaan berlaku penderaan ke atas mangsa.

“Malah, individu dipercayai jiran yang memuat naik video ke laman sosial mengenai remaja itu juga sudah dipanggil untuk diambil keterangan semalam (Sabtu),” katanya.

Mengenai status terkini dan keadaan mangsa yang lemah pembelajaran, Nanda berkata, pihaknya masih menunggu laporan perubatan daripada Hospital Tuanku Fauziah (HTF) Kangar.

Pada Jumaat, rakaman seorang remaja perempuan dipaksa tidur di luar rumah tersebar di laman sosial Twitter yang dimuat naik seorang pengguna.

Selain dipaksa tidur di luar rumah, mangsa dipercayai turut disimbah air panas, dipukul dengan batang buluh dan anggota badannya dikepit playar.

reman, ibu, abang kandung, penderaan, OKU

Artikel Berkaitan

Artikel Lain