suria

Lima maut dua kereta bertembung di Raub

Lima maut dalam kemalangan yang berlaku awal pagi Sabtu. Foto Facebook

LIMA daripada dua keluarga maut apabila kenderaan dinaiki mereka bertembung di kilometer 348 Jalan Kuala Lumpur-Kota Bharu, berhampiran Simpang Sungai Ruan di Raub, awal pagi Sabtu.

Ketua Polis Daerah Raub, Supt Wan Mohd Zahari Wan Busu berkata kejadian pada 2.45 pagi itu juga menyebabkan tiga lagi parah dan kini dirawat di Hospital Kuala Lipis.

Beliau berkata mereka yang maut ialah Hasliza Arini Muhamad@hamid, 34, yang berasal dari Kampung Kelaburan di Tumpat, Kelantan dan anak bongsunya Muhammad Khalish Kautsar Mohd Syaril yang berumur dua tahun.

Turut maut ialah Nasrul Fakhri Mansor, 38, dari Taman Aman Perdana, Klang, Selangor dan dua anggota keluarganya iaitu seorang wanita dewasa dan bayi berusia sekitar setahun, yang masih belum dapat dikenal pasti identiti mereka.

"Kemalangan dipercayai berlaku apabila Nasrul Fakhri yang memandu kereta Perodua Kancil dari arah Kota Bharu menuju ke Kuala Lumpur dipercayai mengantuk lalu memasuki laluan bertentangan.

"Kereta itu bertembung dengan kereta Perodua Myvi yang dinaiki lima beranak yang dipercayai mahu ke Kelantan, selepas pemandunya gagal mengelak ekoran jarak yang terlalu dekat," katanya.

Wan Mohd Zahari berkata mangsa yang parah ialah suami Hasliza Arini, Mohd Syaril Sulaiman, 44, dan dua anak pasangan itu Khaliesah Khairina, tujuh tahun, dan Dhia Afriena, lima tahun.

Beliau berkata, polis sedang mengesahkan identiti dua lagi mangsa yang belum dikenalpasti kerana tiada kad pengenalan dijumpai di lokasi kejadian.

Jenazah semua mangsa dihantar ke Hospital Raub untuk bedah siasat. - BERNAMA

maut, Raub, kemalangan

Artikel Lain