suria

Kes bunuh Jong-nam: Wanita Myanmar tulis surat ucap terima kasih sebelum dibebaskan

Surat ditulis Doan dibacakan peguamnya semasa sidang media di Kuala Lumpur.

DOAN Thi Huong, wanita Vietnam yang sebelum ini dituduh membunuh Kim Jong-nam, abang sebapa pemimpin Korea Utara, Kim Jong-un pada 2017, menulis pesanan peribadi kepada rakyat Malaysia.

Dalam suratnya itu Doan mengucapkan terima kasih kepada semua pihak berkuasa terlibat dan mereka yang telah memberi ucapan selamat yang membantu kepada pembebasan awalnya.

Peguam Hisyam Teh Poh Teik yang mewakili wanita berusia 30 tahun itu telah membacakan pesanan peribadi wanita tersebut yang ditulis atas sehelai kertas berukuran A4 kepada media di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada Jumaat.

"Terima kasih banyak-banyak kepada Kerajaan Malaysia, timbalan pendakwa raya, hakim, semua peguam, Kerajaan Vietnam, kedutaan (Vietnam di Kuala Lumpur) dan Persekutuan Peguam Vietnam dan media yang telah memberi sokongan kepada beliau.

"Dan terima kasih banyak-banyak juga kepada setiap orang yang telah berdoa untuk saya di gereja dan juga di rumah.

"Terima kasih Tuhan Jesus kerana kasih sayang (yang dicurahkannya) kepada saya," kata pesanan itu.

Doan, yang ditahan selama lebih dua tahun di Penjara Kajang, dibebaskan pada Jumaat.

Dia bagaimanapun tidak hadir pada sidang akhbar itu yang dihadiri media tempatan dan asing.

Teh berkata beliau dan dua peguam dari firma guamannya iaitu Datuk Naran Singh dan Salim Bashir akan mengiringi Doan ke Hanoi, Vietnam menaiki pesawat Vietnam Airlines yang dijadual berlepas pada 7.15 petang.

Pada 1 April, Doan dijatuhi hukuman penjara tiga tahun empat bulan oleh Mahkamah Tinggi Shah Alam selepas dia mengaku bersalah kepada pertuduhan pilihan menyebabkan kecederaan kepada lelaki itu dengan melumurkan agen saraf VX pada muka lelaki itu di Dewan Berlepas Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2) dua tahun lepas.

Mahkamah, pada 11 Mac, melepaskan tanpa membebaskan seorang lagi tertuduh, warganegara Indonesia Siti Aisyah, selepas pihak pendakwaan menarik balik pertuduhan terhadapnya.

Dia telah pulang ke Indonesia.

Kedua-dua mereka, bersama empat orang lagi yang masih bebas, sebelum ini dituduh membunuh Kim Jong-nam, 45, di klia2 pada 9 pagi 13 Februari 2017.

Pertuduhan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan itu membawa hukuman mati mandatori jika disabitkan kesalahan. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain