suria

Kes bunuh Jong-nam: Wanita Vietnam dibebaskan hari ini

Doan Thi Huong.

WARGA Vietnam, Doan Thi Huong, tertuduh dalam kes bunuh abang kepada pemimpin Korea Utara, Kim Chol atau Kim Jong-nam, dibebaskan pada 7.20 pagi Jumaat selepas tempoh penjara tamat.

Peguam yang mewakili wanita itu, Hisyam Teh Poh Teik berkata Doan, 30, akan dibawa ke Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Putrajaya sebelum dihantar pulang petang Jumaat.

“Petang ini, lebih kurang jam 4 (petang), pihak Imigresen akan hantar Doan ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 1(KLIA 1) untuk dihantar pulang.

“Penerbangan Doan (dipercayai menaiki penerbangan Vietnam Airlines) ke negara asalnya, Vietnam, pada 7.15 petang ini,” katanya.

Pada 1 April lepas, Mahkamah Tinggi Shah Alam menjatuhkan hukuman penjara tiga tahun empat bulan ke atas Doan selepas dia mengaku bersalah atas pertuduhan menyebabkan kecederaan ke atas Kim Chol menggunakan racun VX, di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2) dua tahun lepas.

12 hari kemudian (13 April), Bernama melaporkan bahawa Doan akan dibebaskan pada Jumaat selepas tempoh penjaranya tamat.

Kira-kira dua bulan sebelum itu, mahkamah sama melepaskan tanpa membebaskan Siti Aisyah, seorang warga Indonesia, iaitu seorang lagi tertuduh kes bunuh Kim Jong-nam.

Mereka didakwa bersama empat lagi yang masih bebas membunuh Kim Chol, 45, di Balai Berlepas klia2 pada 9 pagi, 13 Februari 2017 mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan. - BERNAMA

Doan Thi Huong, Kim Jong-nam, bunuh, bebas

Artikel Lain