suria

Ribuan peserta berbaju putih hadiri Himpunan Pertahan Kedaulatan Islam di ibu negara

Ribuan peserta berkumpul di hadapan pusat membeli-belah Sogo bagi menyertai Himpunan Pertahan Kedaulatan Islam di sini hari ini. - FOTO ZAHID IZZANI

RIBUAN peserta tanpa mengira latar belakang berkumpul di hadapan pusat membeli-belah Sogo di Kuala Lumpur pada Sabtu bagi menjayakan Himpunan Pertahan Kedaulatan Islam.

Terdahulu, para peserta berkumpul dan menunaikan solat Zuhur di Masjid Jamek sebelum bergerak ke Sogo.

Penganjur yang juga Pengerusi Gerakan Pembela Ummah (Ummah), Kamaruzaman Mohamad berkata, himpunan itu diadakan bagi menyatakan kekesalan susulan beberapa insiden yang menghina Islam, Melayu dan kedaulatan Perlembagaan.

"Islam seolah-olah cuba dicabar. Maka, kita perlu bangkit pertahankan kedudukan Islam dan Melayu Bumiputera seperti mana ada dalam Perlembagaan.

"Himpunan kali ini menghimpunkan tokoh-tokoh negara untuk kita keluarkan satu seruan agar umat Islam bersatu jamin hak kita," katanya.

Selain NGO, himpunan itu turut mendapat sokongan parti politik seperti UMNO dan Pas.

Antara pemimpin yang hadir memberikan sokongan ialah Timbalan Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man; Ketua Pemuda Pas, Muhammad Khalil Abdul Hadi dan Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki.

Ini merupakan himpunan kedua terbesar anjuran Ummah selepas Himpunan Bantah ICERD pada 8 Disember tahun lalu. - Sinar Harian.

Artikel Lain