suria

Tony Fernandes tutup akaun Facebook susulan insiden serangan keganasan di Christchurch

TAN Sri Tony Fernandes menyahaktifkan akaun Facebook miliknya dan berkata beliau mungkin akan melakukan perkara sama ke atas laman Twitter kepunyaannya.

Beliau berkata, 'kebencian' disebarkan melalui rangkaian media sosial tersebut selepas penstriman langsung serangan keganasan di dua masjid di New Zealand berlaku.

"Jumlah kebencian yang dilihat di media sosial kadangkala melebih kebaikan yang ada.

"Tapi untuk Twitter, saya rasa pergelutan untuk saya masih berterusan," kata Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia itu menerusi Twitter pada Ahad.

Tony memberitahu akaun Facebook miliknya mempunyai 670,000 pengikut.

CEO itu berkata walaupun beliau merupakan seorang peminat tegar media sosial, beliau harus memikirkan secara serius sama ada mahu kekal menggunakan Facebook selepas insiden tembakan rambang yang mengorbankan 50 nyawa berlaku di Christchurch.

Tony memiliki lebih 1.29 juta pengikut di Twitter dan telah memuat naik lebih 20,200 kali sejak mendaftar akaun media sosial tersebut pada 2008.

Beliau juga merupakan pemilik bersama kelab Inggeris, Queens Park Rangers.

AirAsia merupakan pembawa penerbangan tambang rendah terbesar di rantau ini. - Bloomberg/ The Star

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain