suria

Pelajar mengadu sesak nafas, dua sekolah ditutup semula

SEKOLAH Kebangsaan (SK) Pasir Puteh dan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pasir Putih, Johor Bahru pada Isnin diarah tutup semula setelah beberapa pelajar mengadu sesak nafas, dipercayai akibat terhidu sisa bahan kimia.

Dua sekolah itu dibuka pada Isnin setelah diarah tutup sejak Khamis lepas apabila ada pelajar mengalami sesak nafas, muntah dan pengsan selepas terhidu gas dipercayai daripada bahan kimia yang dibuang ke dalam Sungai Kim Kim, kira-kira 500 meter dari sekolah itu.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Alam Sekitar dan Pertanian negeri Dr Sahruddin Jamal berkata kedua-dua sekolah itu akan ditutup buat sementara waktu dan statusnya akan diputuskan selepas dibincangkan dalam mesyuarat Jawatankuasa Tindakan Bencana negeri.

"Setakat pukul 12.30 tengah hari Isnin, lapan murid dihantar ke Hospital Sultan Ismail (HSI) manakala lebih 10 pelajar dirawat di sekolah dan dewan berdekatan," katanya kepada pemberita selepas ditemui di Dewan Taman Pasir Putih, yang dijadikan pusat operasi sementara, di Johor Bahru.

Dr Sahruddin turut memeriksa dan memberi rawatan awal kepada murid-murid dan pelajar yang mengalami sesak nafas.

Terdahulu, sekumpulan pemberita dan petugas media yang mengikut Dr Sahruddin dan Jabatan Alam Sekitar (JAS) membuat tinjauan di Sungai Kim Kim dikejutkan dengan keadaan kecoh di kedua-dua sekolah berkenaan apabila ramai pelajar mengadu sesak nafas, loya dan muntah-muntah.

Ditanya sama ada punca kejadian dikaitkan dengan pencemaran udara, Dr Sahruddin berkata pelbagai faktor boleh mempengaruhi keadaan itu, bagaimanapun punca sebenar belum dikenal pasti.

"Sebelum ini JAS dan Hazmat (Bomba) sudah membuat penilaian dan sahkan keadaan selamat, itu sebab kita buka sekolah...tapi pihak sekolah hubungi kami (pihak berkuasa) dan mendakwa ada pelajar mempunyai simptom sesak nafas dan sebagainya," katanya.

Dr Sahruddin berkata kontraktor telah dilantik untuk membersihkan sisa kimia di sungai itu dan kerja pembersihan yang dijadual bermula pada Isnin dijangka mengambil masa lima hari meliputi kawasan sungai sepanjang 1.3 kilometer.

Di KUALA LUMPUR, Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik memberi jaminan pihak kementerian akan terus memantau perkembangan kes keracunan gas metana di dua sekolah di kawasan Taman Pasir Putih, Pasir Gudang itu hingga kes selesai.

Beliau berkata kementerian juga komited menjalankan kerja-kerja pembersihan terhadap kedua-dua sekolah itu bagi memastikan sekolah benar-benar selamat untuk pelajar kembali ke sekolah.

"Kami terima laporan secara langsung setiap jam dari Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) dan semua agensi yang terlibat antaranya Jabatan Alam Sekitar, Jabatan Pertahanan Awam (JPAM) dan bomba bagi mengikuti rapat perkembangan kes ini,” katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas majlis pengumuman keputusan peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) di Seri Kembangan pada Isnin.

Khamis lepas media melaporkan 1,400 pelajar dari kedua-dua sekolah itu diarah mengosongkan kawasan sekolah apabila beberapa pelajar mengalami sesak nafas, muntah dan pengsan berikutan terhidu bau gas yang dipercayai daripada bahan kimia yang dibuang ke Sungai Kim Kim. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain