suria

Had RON95 dikurangkan kepada RM2.08 seliter

HAD maksimum harga runcit petrol RON95 yang sebelum ini ditetapkan pada paras RM2.20 seliter, dikurangkan kepada RM2.08 seliter, kata Menteri Kewangan, Lim Guan Eng.

Beliau berkata, keputusan itu dipersetujui pada mesyuarat jemaah menteri hari ini setelah mengambil kira trend harga sebenar pasaran produk petroleum yang semakin meningkat pada masa ini.

"Ini bermakna harga runcit RON95 akan dihadkan kepada RM2.08 seliter sungguhpun harga minyak dunia naik lebih daripada itu.  "Sekiranya harga minyak dunia berada di bawah paras tersebut, harga mingguan petrol RON95 akan berada di bawah paras RM2.08," katanya dalam kenyataan di sini, Rabu.

Menurut Guan Eng, pengurangan paras harga runcit petrol RON95 itu adalah selaras dengan komitmen kerajaan untuk mengurangkan kos sara hidup rakyat.

Dalam pada itu, Guan Eng berkata, harga runcit RON95, RON97 dan diesel akan terus diumumkan secara mingguan berdasarkan pengiraan Mekanisme Harga Automatik (APM).

Pada Januari lepas, kerajaan melaksanakan penetapan harga runcit produk petroleum secara mingguan dengan harga runcit petrol RON95 dihadkan pada RM2.20 manakala diesel pada RM2.18 seliter.  

Guan Eng berkata, had harga minyak itu akan dibatalkan apabila subsidi minyak bersasar dilaksanakan pada pertengahan tahun ini. - Bernama

Lim Guan Eng, petrol, RON95

Artikel Lain