Operasi bawa keluar SUV yang terhumban ke laut terpaksa ditangguhkan kerana cuaca buruk - Semasa | mStar

Operasi bawa keluar SUV yang terhumban ke laut terpaksa ditangguhkan kerana cuaca buruk

Operasi membawa keluar kenderaan SUV terpaksa ditangguhkan.

OPERASI membawa keluar sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) yang terhumban ke dalam laut dari Jambatan Pulau Pinang terpaksa ditangguhkan pada Isnin berikutan keadaan cuaca yang tidak mengizinkan, dan akan disambung Selasa.

Komander Polis Marin Wilayah 1 ACP Rosman Ismail berkata operasi bagi menarik keluar kereta itu dari dasar laut dengan menggunakan sebuah kren yang bermula pukul 6.00 petang itu terpaksa dihentikan pada pukul 7.30 malam.

ARTIKEL BERKAITAN: Kenderaan SUV terhumban dalam laut berjaya dijumpai

"Operasi mengeluarkan kereta itu terpaksa dihentikan berikutan (pasukan operasi) berdepan dengan kesukaran seperti keadaan gelap, arus deras, dan laut yang bergelora selain pasukan penyelam telah mencuba sebanyak empat kali untuk mengeluarkan kereta itu," katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.

Beliau berkata keadaan arus deras menyebabkan kabel cangkuk yang dipasang untuk mengangkat kereta itu terputus beberapa kali, dan ditambah dengan keadaan cuaca yang semakin gelap, operasi berkenaan dihentikan malam ini dan akan disambung semula pukul 7.00 pagi Selasa.

Kereta  yang terhumban ke dalam laut itu  merupakan kereta yang dipandu oleh penuntut kolej swasta Moey Yun Peng, 20, (gambar) selepas  terbabit dalam kemalangan dengan sebuah kereta di Kilometer 4.0 Jambatan Pulau Pinang pada pukul 2.54 pagi, Isnin.

Kereta itu berjaya ditemukan pada pukul 4.00 petang tadi di Tiang 34 Jambatan Pulau Pinang sebelum sebuah kren berkapasiti tinggi tiba di lokasi kejadian pada kira-kira pukul 5.45 petang untuk memulakan usaha membawa keluar kenderaan itu dari dasar laut. - Bernama

Artikel Sebelum

Kes rasuah di Malaysia meningkat - Tun M

Artikel Lain