Mangsa insiden kereta terhumban di Jambatan Pulau Pinang anak bongsu 2 beradik - Semasa | mStar

Mangsa insiden kereta terhumban di Jambatan Pulau Pinang anak bongsu 2 beradik

KELUARGA pemandu kenderaan yang terhumban ke dalam laut selepas terlibat dalam kemalangan di Kilometer 4.0 Jambatan Pulau Pinang awal pagi semalam memohon diberikan ruang dan masa untuk bertenang kerana masih bersedih dengan kejadian tersebut.

Bapa kepada pemandu kenderaan yang juga seorang penuntut kolej swasta itu yang enggan mendedahkan namanya berkata demikian ketika wartawan Bernama menjejakinya di kediaman mereka di Taman Kempas, di Butterworth, Isnin.

"Kami perlukan masa...media lebih mengetahui tentang perkara ini daripada keluarga," katanya dalam nada tersekat dan dilihat amat sedih mengenangkan kejadian tragis yang berlaku terhadap anak lelakinya itu.

Sementara itu, abang pemandu kenderaan terbabit yang hanya mahu dikenali sebagai Dennis, 20-an, berkata mangsa iaitu Moey Yun Peng (gambar) merupakan adik bongsunya dan mereka hanya dua beradik.

Sepanjang pertemuan 15 minit itu Dennis juga tidak mampu membendung perasaannya dengan raut wajah yang menampakkan matanya yang bengkak dan memaklumkan baharu tiba dari Kuala Lumpur sejurus menerima perkhabaran mengenai adiknya.

Dalam kemalangan pukul 2.54 pagi itu, sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV)  terhumban ke dalam laut selepas terlibat kemalangan dengan sebuah kereta di Kilometer 4.0 Jambatan Pulau Pinang menghala Perai, di sini awal pagi semalam.

Sehingga kini operasi mencari dan menyelamat mangsa yang berusia 20 tahun itu masih diteruskan.-- Bernama

Artikel Lain