Kit Siang patut jadi 'Menteri Hal Ehwal Najib', boleh dapat kereta rasmi, elaun menteri - Semasa | mStar

Kit Siang patut jadi 'Menteri Hal Ehwal Najib', boleh dapat kereta rasmi, elaun menteri

Najib (kanan) mengesyorkan Kit Siang agar menjadi Menteri Hal Ehwal Najib kerana kerap mengeluarkan kenyataan mengenai beliau.

DATUK Seri Najib Tun Razak sekali lagi memberikan komen sinis terhadap penasihat DAP, Lim Kit Siang dengan mengatakan bahawa beliau patut melantik dirinya sebagai 'Menteri Hal Ehwal Najib'.

Bekas perdana menteri itu membuat kenyataan tersebut di Facebook, sebagai tindak balas kepada kenyataan yang dikeluarkan oleh Kit Siang mengenai dirinya.

"Setiap hari, Lim Kit Siang (林吉祥) akan mengeluarkan sekurang-kurangnya satu kenyataan untuk menyerang saya.

"Nampaknya, 'uncle' ini masih tidak dapat mengawal obsesi dia terhadap saya. Saya rasa ianya lebih baik jika Kit Siang terus minta untuk dilantik sebagai Menteri Hal Ehwal Najib.

"Bolehlah dapat kereta rasmi, gaji dan elaun menteri," katanya.

Najib membuat komen itu berikutan kenyataan media terbaharu oleh Kit Siang yang menyeru peneroka muda Felda untuk mencontohi Chef Wan.

Chef selebriti itu menjadi tumpuan selepas mengeluarkan kenyataan mahu menampar Najib.

"Chef Wan, chef selebriti terkenal di dunia, yang nama sebenarnya Redzuanwan Ismail, harus menjadi contoh bagi semua peneroka Felda muda di Malaysia untuk menjadi juara dunia, dan tidak mencontohi model yang salah untuk menjadi raja kleptokrasi atau 'trolls'.

"Chef Wan marah apabila ditanya mengenai dakwaan Najib tentang 'zaman kegemilangan' peneroka Felda kerana mereka menerima bonus dan gaji tinggi," kata beliau sambil menambah bahawa Chef Wan harus menjadi piawaian emas untuk dijadikan contoh oleh pemuda Felda," kata Kit Siang pada awal Isnin. - The Star

Najib Razak , Kit Siang

Lebih Artikel