suria

Kes kereta terhumban di Jambatan Pulau Pinang, sah pemandu Toyota Vios positif ganja!

PEMANDU kereta Toyota Vios yang terlibat dalam kemalangan di Kilometer 4.0 Jambatan Pulau Pinang sehingga sebuah kenderaan lain terhumban ke dalam laut, awal pagi semalam, didapati positif dadah.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah (SPT) Asisten Komisioner Nik Ros Azhan Nik Abdul Hamid berkata ujian saringan awal lelaki berusia 21 tahun dan merupakan pendandan rambut itu mendapati dia positif ganja.

"Polis telah menghantar sampel darah lelaki itu ke Jabatan Kimia untuk ujian lengkap bagi mengetahui kandungan alkohol dan dadah di dalam darahnya, keputusan mengenainya dijangka diketahui dalam masa terdekat, " katanya di Georgetown, Isnin.

Beliau berkata lelaki itu kini dirawat di sebuah hospital swasta di Bayan Baru, dekat sini kerana mengalami kecederaan pada kepala, kaki dan tangan akibat kemalangan berkenaan.

Katanya sebelum ini, pemandu Toyota Vios itu dirawat di Hospital Seberang Jaya dan dibenarkan pulang petang semalam, namun dia telah pengsan di rumahnya menyebabkan keluarganya menghantarnya ke hospital swasta untuk menerima rawatan lanjut.

Nik Ros Azhan berkata pemandu kereta Toyota Vios dan mangsa yang terhumban ke dalam laut itu merupakan rakan sejak mereka di sekolah rendah.

"Dua lelaki itu bersama lima lagi rakan (lelaki) menghadiri majlis sambutan hari jadi seorang daripada kawan mereka di sebuah pusat hiburan di Lebuh Chulia, di sini.

Kesemua mereka pulang ke rumah masing-masing pada pukul 2.30 pagi.

"Lima rakan mereka tinggal di bahagian pulau manakala mangsa dan pemandu kereta Toyota Vios itu tinggal di kawasan Butterworth," katanya.

Menurutnya, polis turut menjalankan siasatan lanjut berhubung dakwaan dua pemandu kereta itu sedang berlumba ketika kemalangan berkenaan.

Dalam kemalangan pukul 2.54 pagi itu, sebuah kereta terhumban ke dalam laut selepas terlibat kemalangan dengan sebuah kenderaan di Kilometer 4.0 Jambatan Pulau Pinang menghala Perai, dekat sini awal pagi semalam.

Pemandu kereta yang terhumban ke dalam laut itu adalah seorang lelaki dikenali sebagai Moey Yun Peng berusia 20 tahun dan merupakan pelajar sebuah kolej swasta.

-- Bernama

Artikel Berikut

Artikel Lain