suria

Syukur isteri terima kekurangan diri

Anton bersama isterinya Noor Aina ceria ketika disandingkan serentak pada Majlis Perkahwinan Ramai-Ramai di Dewan Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP), Sabtu. -fotoBERNAMA

PEKAN: Seorang buruh yang merupakan Orang Kelainan Upaya (OKU) tidak henti-henti mengucapkan syukur selepas selamat diijabkabulkan dengan pasangan pilihannya di sini, Sabtu.

Anton Bakhtiar, 24, yang kudung tangan kanan dan cacat pada kaki kanan berkata beliau merasakan dirinya ibarat bermimpi dengan kesudian Noor Aina Nazihah Mohd Alshokre, 18, menerimanya sebagai suami walaupun dengan kekurangan yang ada pada dirinya.

Beliau yang berasal dari Sabah berkata mula berkenalan dengan isterinya yang berasal dari Kampung Polo di sini, sejak lima tahun lalu menerusi laman sosial.

"Saya hanya mampu mengucapkan terima kasih kepada isteri yang seikhlas hati menerima saya tanpa ada rasa rendah diri bersuamikan insan istimewa. Saya berharap rumah tangga kami akan berpanjangan," katanya.

10 pasangan disandingkan serentak pada Sabtu. - fotoBERNAMA

Anton dan Noor Aina Nazihah merupakan satu daripada 10 pasangan yang menyertai Majlis Perkahwinan beramai-ramai anjuran Empire D'Butik Lavida Magica di dewan Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP) di sini, Sabtu.

Bagi Nor Arif Zakwan Mohd Mahyuddin, 26, dan pasangannya Sh Farah Amina Abdul Rahman, 27, menyifatkan hari bahagia mereka lebih bermakna kerana dikongsi bersama sembilan pasangan lain, selain lebih meriah dengan kehadiran ramai tetamu.

"Kami tahu mengenai majlis perkahwinan beramai-ramai ini melalui laman sosial Facebook. Selepas berbincang dengan bakal isteri, kami bersetuju untuk menyertai majlis perkahwinan perdana hari ini kerana berasakan ia menarik dan pengalaman yang unik," katanya.

Sementara itu, wakil penganjur Ahmad Azriman Shah Abdul Rahman berkata pasangan yang berminat menyertai majlis itu hanya dikenakan bayaran sebanyak RM3,000 dan ia merupakan satu cara mereka membantu pasangan muda mendirikan rumah tangga. - BERNAMA

OKU, kahwin

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain