suria

Adib diberi kenaikan pangkat, bantu ringankan beban keluarga dari segi imbuhan pencen

Bapa Muhammad Adib, Mohd Kassim Abdul Hamid dan ibunya, Asma Aziz memberi penghormatan terakhir selepas pengebumian jenazah Adib. - FOTO CHAN BOON KAI

ALOR SETAR:  Anggota bomba Allahyarham Muhammad Adib Mohd Kassim, 24, yang meninggal dunia malam tadi diberikan kenaikan pangkat secara 'posthumauos' daripada gred KB19 ke KB22 berkuat kuasa serta-merta.

Ketua Setiausaha Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Seri Mohammad Mentek berkata kenaikan pangkat itu bagi membantu meringankan beban keluarga Allahyarham dari segi imbuhan pencen.

"Kita berdukacita dan terharu atas pemergian Allahyarham kerana telah menunjukkan pengorbanan, keberanian ketika menjalankan tugas dengan mengetepikan keselamatan diri dan mengalami kecederaan ketika menjalankan tugasan rasmi.

"Kerajaan juga akan menyegerakan pampasan daripada caruman yang dibuat Allahyarham sebanyak lebih RM200,000 dan akan diuruskan jabatan bomba," katanya kepada pemberita selepas jenazah Muhammad Adib selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kariah Masjid As-Saadah di Kampung Tebengau, Kuala Kedah, pada Selasa.

Mohammad berkata kerajaan amat menghargai sumbangan bakti Allahyarham yang hampir empat tahun bertugas sebagai anggota bomba.

Jenazah Allahyarham Muhammad Adib Mohd Kassim tiba dengan helikopter M17-IV milik Jabatan Bomba dan Penyelamat di padang Sekolah Kebangsaan (SK) Tebengau, Kedah dari Pangkalan Udara Bomba Subang. Jenazah Muhammad Adib disemadikan selepas solat Zohor di Tanah Perkuburan Masjid As-Saadah, Kuala Kedah.  

"Kita berterima kasih kepada semua pihak termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM), Hospital Kuala Lumpur (HKL), Institut Jantung Negara (IJN) dan doktor-doktor pakar yang bertungkus-lumus menyelamatkan Allahyarham selama tiga minggu,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Datuk Amer Yusof berkata pihaknya akan meneliti semula secara terperinci prosedur operasi standard (SOP) JBPM semasa menghadapi situasi rusuhan.

Katanya, ia merangkumi tindakan mengenal pasti risiko yang mungkin wujud terhadap anggota bomba seperti yang berlaku ke atas Muhammad Adib.

Beliau berkata, pada masa ini JBPM memang mempunyai SOP yang diguna pakai anggotanya semasa berada di tempat rusuhan mengikut arahan di bawah Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Dalam pada itu, beliau merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada semua pihak dalam memberikan bantuan sepanjang tempoh Muhammad Adib mendapatkan rawatan termasuk Subang Jaya Medical Centre (SJMC) dan IJN.

"...saya mengucapkan takziah kepada keluarga Adib dan saya berharap keluarganya diberikan kekuatan tempuh cabaran ini...Adib merupakan wira negara kita yang menabur bakti untuk negara," katanya sambil mengharapkan pelaku yang mencedera sehingga menyebabkan kematian Muhammad Adib dapat dikenakan tindakan tegas.

Muhammad Adib yang bertugas sebagai anggota Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Subang Jaya disahkan meninggal dunia di IJN pada pukul 9.41 malam Isnin.- Bernama

Muhammad Adib, bomba

Artikel Sebelum

Jenazah Adib selamat dikebumikan

Artikel Berikut

Artikel Lain