suria

Rosmah bakal berdepan pertuduhan baharu

Rosmah bakal didakwa di mahkamah atas pertuduhan baharu. - Foto Bernama

PETALING JAYA: Datin Seri Rosmah Mansor mungkin terpaksa dihadapkan ke mahkamah sekali lagi dan kali ini atas dakwaan melibatkan projek hibrid solar untuk sekolah-sekolah di pedalaman Sarawak yang bernilai RM1.25 bilion.

Isteri bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak itu dijangka berdepan beberapa dakwaan bersama bekas pembantunya, Datuk Rizal Mansor.

Dalam laporan eksklusif oleh The Star, sumber Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia berkata, mereka berdua akan didakwa pada minggu ini.

Bagaimanapun, masih belum jelas tentang peranan Rosmah dalam projek tersebut atau dakwaan yang akan dikenakan ke atasnya.

Pada 4 Oktober lalu, Rosmah didakwa dengan 17 tuduhan pengubahan wang haram membabitkan nilai RM17 juta.

Projek hibrid solar itu mencetuskan kontroversi apabila Sarawak Report mendakwa pada Jun bahawa kontrak itu diberikan kepada syarikat yang berpangkalan di Bintulu, Jepak Holdings Sdn Bhd.

Jepak Holdings adalah syarikat perkhidmatan pengangkutan yang kononnya menerima arahan terus daripada Najib.

Ditanya sama ada Najib dan bekas Menteri Pelajaran Datuk Seri Mahdzir Khalid juga akan menghadapi pertuduhan, sumber itu berkata: "Belum".

Mahdzir telah disoal siasat mengenai projek tersebut selama beberapa jam oleh SPRM pada bulan lepas.

Najib dipanggil oleh SPRM pada Khamis bagi membantu siasatan sebagai saksi bagi beberapa kes. Satu daripadanya membabitkan projek hibrid solar tersebut.

Jepak Holdings dilantik pada akhir 2016 untuk bekalan diesel, pembaikan alat penjana dan penyediaan sistem hibrid solar untuk 369 sekolah luar bandar di Sarawak.

Sehingga kini, tiada sekolah yang memiliki sistem tersebut.

Rosmah Mansor, dakwa, solar

Artikel Lain