suria

Kereta tenggelam dalam terowong, pemandu terpaksa panjat bumbung

Seorang pemandu memanjat keretanya yang ditenggelami air akibat kejadian banjir kilat. - Sinar Harian

KUALA LUMPUR: Anggota bomba mengambil masa hampir 10 minit bagi menyelamatkan lima pemandu kenderaan yang terperangkap dalam terowong di Jalan Tun Razak akibat banjir kilat di sini, petang Ahad.

Kesemua mangsa sebelum itu bertindak menyelamatkan diri dengan memanjat bumbung kereta apabila kenderaan masing-masing ditenggelami air.

Pusat Gerakan Operasi Kuala Lumpur dalam satu kenyataan memberitahu pihaknya menerima panggilan kecemasan melalui talian MERS999 pada jam 5.56 petang memaklumkan kejadian.

Menurutnya, sepasukan tujuh anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Jalan Tun Razak 1 diketuai Rohizam Othman ke lokasi kejadian bersama sebuah jentera.

"Sebaik sampai di lokasi, anggota bomba dapati lima kenderaan sudah terperangkap dalam terowong.

"Kesemua mangsa yang merupakan pemandu kenderaan didapati berada di atas bumbung kereta ketika operasi menyelamat dilakukan " katanya.

Beliau berkata, anggota bomba menyelamatkan kelima-lima mangsa dengan membawa mereka ke lokasi selamat.

"Operasi selamatkan mangsa mengambil masa lebih kurang 10 minit. Kelima-lima mangsa lelaki tidak mengalami apa-apa kecederaan.

Operasi terkawal pada jam 8.05 malam," katanya. - Sinar Harian

banjir kilat

Artikel Lain