Aliff Syukri pelik, “Ada lagi yang teruk, ‘sumbang-mambang’ menyanyi, tetap masuk final” - Semasa | mStar

Aliff Syukri pelik, “Ada lagi yang teruk, ‘sumbang-mambang’ menyanyi, tetap masuk final”

Aliff Syukri, penaja utama GV5.

PETALING JAYA: Usahawan kosmetik, Datuk Seri Aliff Syukri Kamarzaman mempertikaikan mengenai peserta yang mara ke final Gegar Vaganza musim kelima (GV5).

Penaja utama konsert GV5 itu berpandangan, terdapat penyanyi yang sepatutnya tersingkir pada peringkat separuh akhir program itu yang berlangsung di Auditorium Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), malam Ahad. 

“Siapa patut tersingkir sebenarnya?? Juri oh juri,” katanya menerusi status yang dimuat naik di laman sosial Instagramnya, pagi Isnin.

ARTIKEL BERKAITAN: Zamani lupa lirik ke final GV5, Forteen, Hetty Sarlene tersingkir

Memuat naik gambar bersama dua anggota kumpulan Forteen, One dan Izzue Islam menerusi status berkenaan, penyingkiran kumpulan itu pada malam Ahad, menimbulkan tanda tanya Aliff.

“Saya peliklah kenapalah kumpulan Forteen yang 'best' ni yang terkeluar sedangkan ada yang lagi teruk dan sumbang-mambang menyanyi, tapi tetap masuk final?

“Saya malas nak tulis lebih-lebih, nanti ada yang terasa,” tambahnya.

Selain kumpulan Forteen, turut tersingkir pada peringkat separuh akhir GV5 adalah penyanyi Hetty Sarlene.

Penyingkiran itu membolehkan enam peserta lain iaitu Amelina, Zamani, Maya Ruslee, Noryn Aziz, Dia Fadilla dan kumpulan duo Billy Zulkarnain berentap merebut gelaran juara pada peringkat akhir yang akan berlangsung minggu hadapan.

Peserta tersingkir pada peringkat separuh akhir itu, Hetty menyampaikan dua buah lagu, Pencuri Hati nyanyian asal Ayda Jebat dan Kemaafan Dendam Yang Terindah (Aishah).

Manakala Forteen mempersembahkan lagu Potret (Akim & The Majistret) dan Cinta Di Akhir Garisan (Ziana Zain, Ning Baizura, Nora, Dessy Fitri).

Kesemua peserta diadili oleh juri profesional iaitu Datuk Ramli MS, Datuk Khadijah Ibrahim dan Datuk Yusof Haslam.

Artikel Sebelum

Buat solat hajat untuk Wan Mohd Arif

Artikel Berikut

Artikel Berkaitan

Artikel Lain