suria

Nahas Lion Air: Tiada mangsa rakyat Malaysia

PUTRAJAYA: Tiada rakyat Malaysia dilaporkan terlibat dalam tragedi pesawat Lion Air JT610 yang terhempas di perairan Karawang, Indonesia, setakat ini.

Kementerian Luar (Wisma Putra) dalam kenyataan pada Isnin berkata Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta telah menghubungi pihak berkuasa tempatan bagi mendapatkan butiran terperinci mangsa yang terlibat.

"Pihak Kedutaan akan terus berhubung rapat dengan pihak berkuasa tempatan bagi memantau perkembangan terkini," kata kenyataan itu.

Bagaimanapun, Wisma Putra berkata rakyat Malaysia yang memerlukan bantuan konsular atau maklumat lanjut mengenai kejadian ini boleh menghubungi pihak Kedutaan menerusi e-mel [email protected]/[email protected] atau nombor telefon +62215224947 dan +6281380813036 (WhatsApp).

Pesawat Lion Air JT610 yang membawa 181 penumpang dan lapan anak kapal dilaporkan terputus hubungan sebelum terhempas di perairan Karawang, selepas berlepas 6.20 pagi hari ini dari Lapangan Terbang Antarabangsa Soekarno-Hatta, Jakarta.

Pesawat jenis Boeing 737 MAX 8 itu sepatutnya tiba di Lapangan Terbang Depati Amir Pangkal Pinang pada 7.10 pagi waktu Indonesia barat (8.10 pagi waktu Malaysia). - Bernama

Lion Air, terhempas

Artikel Lain