suria

Silap siapa Umno diharamkan?

Menurut Zahid (gambar), nilai semasa saham dan aset-aset Umno cuma RM867 juta dengan dividen kira-kira RM12 juta setahun.

JANDA BAIK: Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi tidak menolak kemungkinan Umno bakal diharamkan di negara ini.

Namun katanya, perkara itu bukan kerana Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) semata-mata sebaliknya disebabkan juga oleh ahli Umno itu sendiri.

“Kita harus ingat parti kita mahu diharamkan dengan tujuan supaya parti kita dibubarkan. Daripada 21,000 cawangan yang telah diminta mengadakan mesyuarat bagi tahun 2018, hanya 19,000 cawangan yang buat mesyuarat.

“Seharusnya 19,000 cawangan hantar borang 9 ke Bahagian dan dihantar ke Perhubungan Negeri sebelum ke Pusat. Yang sampai kira-kira 8,000 sahaja.

“ROS guna alasan ini untuk mengharamkan dan surat tunjuk sebab telah kita terima. Kalau kita mahu salahkan ROS seratus peratus, bagaimana kesalahan yang kita lakukan?,” katanya ketika berucap pada majlis penutup Program Pemukiman (Retreat) Pemuda di Pusat Latihan Umno, Janda Baik.

Dalam ucapan sama beliau turut menjelaskan soal masalah kewangan yang dihadapi parti selepas akaun Umno dibekukan.

“Harus diketahui semua dana yang didepositkan ke akaun Umno Malaysia dibekukan 100 peratus. RM116.7 juta yang dirampas di bawah Amla (Siasatan Jenayah Pengubahan Wang Haram) masih lagi dibekukan.

“Tidak ada akaun lain yang boleh membiayai aktiviti ibu pejabat, perhubungan dan bahagian-bahagian apatah lagi di peringkat sayap kerana kita tak ada dana. Itu hakikatnya,” katanya.

Malah katanya, parti juga berdepan masalah untuk membayar gaji pegawai dan kakitangan parti hingga terpaksa meminjam.

“Bukan sahaja pembekuan dilakukan terhadap kita malah untuk membayar gaji pegawai dan kakitangan pun saya terpaksa meminjam wang daripada Bendahari Umno Malaysia. Itu hakikat.

“Kita terpaksa kurangkan sehingga 40 peratus jumlah kakitangan kerana kita tak mampu dan bayaran gaji pun kurang 40 peratus. Gambaran diberikan seolah aset Umno berbilion,” katanya.

Menurutnya lagi, nilai semasa saham dan aset-aset Umno cuma RM867 juta dengan dividen kira-kira RM12 juta setahun.

“Berapa perbelanjaan minimum Umno sebulan? RM5 juta sebulan atau RM60 juta setahun.

“Kita ada PWTC (Pusat Dagangan Dunia Putra), Dewan Merdeka, Hotel Seri Pasific. Pendapatan semuanya RM12 juta setahun. Itu lah yang boleh kita gerakkan. Wang itu sebahagiannya juga dibekukan.

“Saya terpaksa berkongsi ini semua bukan sahaja mahu memohon simpati, saya mahu menjelaskan kedudukan sebenar kewangan kita,” katanya.- Sinar Harian.

Artikel Sebelum

Artikel Lain