suria

Equanimity dilelong kepada orang awam, proses bidaan selama sebulan

SHAH ALAM: Mahkamah pada Isnin membenarkan kapal layar mewah Equanimity dilelong kepada orang awam bagi mendapatkan semula wang yang dikaitkan dengan 1MDB.

Peguam Ong Chee Kwan, yang mewakili 1MDB dan dua anak syarikatnya berkata, proses bidaan akan berjalan selama sebulan hingga 28 November depan.

“Kita akan iklankan lelongan kapal tersebut dalam akhbar tempatan dan antarabangsa, dan sebaik sahaja bidaan diterima, satu surat akan dikeluarkan kepada pembida.

“Pembeli perlu membayar 10 peratus daripada harga jualan dalam tempoh lima hari perbankan, sementara baki 90 peratus dibayar dalam tempoh 10 hari berikutnya.” katanya memetik laporan Free Malaysia Today.

Chee Kwan berkata, 1MDB dan kerajaan berharap untuk melepaskan pemilikan Equanimity menjelang pertengahan Disember ini.

Terdahulu, Chee Kwn telah bertemu pesuruhjaya kehakiman Mahkamah Tinggi, Khatijah Idris hari ini bagi mendapatkan kelulusan berhubung terma dan syarat jualan itu.

Seorang lagi peguam mewakili 1MDB, M Joseph berkata, pembida yang berminat perlu membayar deposit sebanyak AS$1 juta untuk tujuan bidaan tersebut.

“Satu pusingan kelayakan akan diadakan dalam proses bidaan bagi memastikan hanya pembeli tulen mengambil bahagian. Kami mahu memastikan hanya pembeli serius tampil membuat bidaan,” katanya.

Mahkamah Tinggi sebelum ini memberi lampu hijau kepada 1MDB dan kerajaan untuk melantik broker dan penilai bagi menjual kapal layar berkenaan, yang dipercayai dibeli oleh ahli perniagaan Jho Low pada harga RM1 bilion.

Penyiasat AS mendakwa Low menggunakan wang yang dicuri daripada 1MDB untuk membeli kapal layar itu.Equanimity kini berlabuh di sebuah terminal di Pelabuhan Klang selepas pihak berkuasa Indonesia menyerahkannya kepada Malaysia.

Ia dirampas pada Februari tahun ini oleh kerajaan Indonesia atas permintaan pihak berkuasa AS dalam satu penyiasatan rasuah oleh Jabatan Kehakiman negara itu melibatkan wang puluhan bilion dolar yang dikaitkan dengan 1MDB.

Bagaimanapun mahkamah Indonesia memutuskan pada April bahawa kapal layar itu dirampas secara salah dan mengarahkan ia diserahkan kepada pemiliknya.-Sinar Harian

Kapal Equanimity, lelong

Artikel Berikut

Artikel Lain