suria

Sistem bekalan air awam bebas E-Coli

KUALA LUMPUR: Hasil analisis yang dijalankan di bawah Program Kebangsaan Kawalan Mutu Air Minum mendapati air yang dibekalkan daripada sistem bekalan air awam adalah bebas daripada bakteria E-Coli, menurut Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN).

Dalam satu kenyataan, Ketua Pegawai Eksekutif SPAN Datuk Mohd Ridhuan Ismail berkata E-Coli merupakan antara parameter mikrobiologi yang dianalisis secara berterusan oleh pengendali bekalan air dan Kementerian Kesihatan (KKM) di bawah program itu.

Jelasnya, pengklorinan adalah proses yang paling efektif dalam merawat air bagi membunuh segala bakteria yang ada.

"Di akhir rawatan dan sebelum air diagihkan, pengendali bekalan air dikehendaki memastikan terdapat baki klorin bebas sekurang-kurangnya 0.2 mg/l (milligrams per liter) dalam air terawat untuk membunuh bakteria E-Coli yang berkemungkinan datang daripada pencemaran dalam sistem agihan," katanya.

Menurut kenyataan itu, kandungan baki klorin diibaratkan seperti perisai bagi memastikan bekalan air sentiasa selamat kepada orang ramai, selain mematuhi standard air minum yang ditetapkan.

"Oleh yang demikian, tidak timbul isu kewujudan E-Coli dalam sistem bekalan awam yang boleh memudaratkan kesihatan," katanya.

Sementara itu, Mohd Ridhuan berkata air yang dirawat dan dibekalkan kepada orang ramai mematuhi standard kualiti minimum yang ditetapkan KKM berdasarkan Garis Panduan Kualiti Air yang dikeluarkan Pertubuhan Kesihatan Sedunia.

SPAN, katanya, sebagai badan kawal selia teknikal industri perkhidmatan air turut menjalankan audit berkala di semua loji rawatan air bagi memastikan rawatan dijalankan secara efektif, serta bekerjasama dengan KKM bagi memantau kualiti air yang dirawat dan diagih mematuhi standard. - BERNAMA

E-coli, air

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain