suria

Sisa pepejal tidak boleh dikitar semula akan diharamkan

Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR: Semua sisa pepejal terutamanya plastik yang tidak boleh dikitar semula akan diharamkan di negara ini.

Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Yeo Bee Yin berkata langkah tersebut diambil bagi memastikan sisa pepejal negara diuruskan dengan baik dan mengurangkan pencemaran plastik selain memastikan Malaysia tidak menjadi 'tong sampah' sisa plastik negara maju.

"Sisa plastik adalah berbeza-beza, ada yang hormogenius, sebati dan bersih yang mana ia boleh dikitar semula. Tetapi, ada sisa plastik yang tidak boleh dikitar semula dan bercampur dan biasanya kilang haram menggunakan sisa plastik bercampur ini untuk kitar semula.

"Kementerian ini akan pastikan setiap sisa yang tidak boleh dikitar dengan baik dan tidak mengikut Akta Kualiti Alam Sekeliling akan diharamkan di negara ini," katanya ketika sesi Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat, Selasa.

Beliau menjawab soalan tambahan Siti Zailah Mohd Yusoff (PAS-Rantau Panjang) yang ingin tahu sama ada kerajaan bercadang mengharamkan sepenuhnya semua pengimportan sisa pepejal di negara ini.

Yeo berkata sebuah Jawatankuasa Menteri Bersama yang diketuai Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan ditubuhkan bagi menentukan langkah untuk mengelak pengimportan sisa plastik dari negara luar.

"Buat masa sekarang semua aktiviti pengimportan sisa plastik dibekukan dan kita juga membekukan lesen untuk menubuhkan kilang kitar semula sehingga jawatankuasa membuat keputusan mengenai pengurusan sisa plastik," katanya.

Sementara itu, ketika sesi soal jawab lisan, Yeo berkata satu standard plastik biodegrasi akan diperkenalkan pada hujung tahun ini.

"Kementerian sedang bekerjasama dengan Standard Malaysia untuk membangunkan satu standard ‘biodegradable plastic food compostable packaging' dan akan dilancarkan hujung tahun ini.

"Selepas ini akan ada eko label yang mana pengguna boleh tahu plastik itu mesra alam atau tidak," katanya.

Beliau menjawab soalan tambahan Ahmad Fahmi Mohamed Fadzil (PH-Lembah Pantai) yang ingin tahu sama ada kerajaan mengeluarkan garis panduan mengenai jenis plastik.

Pada sidang media selepas itu, Yeo berkata langkah pembekuan import plastik dari empat buah negara utama iaitu Amerika Syarikat, Jepun, United Kingdom serta Australia yang merekodkan jumlah pengimportan lebih 400 juta metrik tan sisa plastik telah dilaksanakan pada Jun lepas.

Dalam masa sama beliau turut menegaskan, isu pencemaran sisa plastik ini memerlukan suara sepakat antarabangsa supaya dapat diperhalusi dan diatasi. - BERNAMA

sisa, pepejal

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Harga rokok naik lagi

Artikel Lain