Isu kesempurnaan, apa kata Syed Saddiq-TMJ? - Semasa | mStar

Isu kesempurnaan, apa kata Syed Saddiq-TMJ?

PETALING JAYA: Isu kesempurnaan yang diketengahkan Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dan Tunku Mahkota Johor (TMJ)Tunku Ismail Sultan Ibrahim menarik perhatian netizen di Twitter.

Ahli Parlimen Muar itu turut memberikan reaksi balas kepada laporan sebuah portal yang mengaitkan beliau dengan Tunku Ismail berhubung isu tersebut.

Pada posting terbabit, Syed Saddiq menulis: "Ampun Tuanku. Jika kita sentiasa memandang ke belakang, sampai bila-bila kita tidak akan dapat maju.

"Patik akan sentiasa mendoakan kesejahteraan Tunku."

Setakat ini, reaksi balas Syed Saddiq itu diulang kicau sebanyak 783 kali dan mendapat lebih 1,300 tanda suka.

Sementara itu, TMJ yang turut membalas 'tweet' tersebut berkata, baginda bersetuju 100 peratus dengan Syed Saddiq.

"Setuju 100%. Dan kepada mereka yang melakukan sesuatu secara sembunyi dan bernilai 20 bilion," kata Tunku Ismail.

Terdahulu, portal Malaysiakini melaporkan Tunku Ismail memuat naik satu 'tweet' yang mempersoalkan tentang kesempurnaan seseorang tanpa menyatakan secara jelas 'tweet' itu ditujukan kepada siapa.

Dipercayai 'tweet' Tunku Ismail itu ditujukan kepada Ahli Parlimen Muar tersebut yang sebelum ini dalam satu posting di Twitter menyifatkan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai seorang yang mementingkan kesempurnaan.

Tunku Ismail memuat naik 'tweet' pada pagi Isnin: "Mementingkan kesempurnaan? Sama ada kamu mengalami delusi atau obses.

"Kamu masih dalam perut ibu kamu, budak. Buat sedikit kajian."

Syed Saddiq , TMJ

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Berkaitan