“Umno patut bantu saya, bukan boikot” – Isa Samad - Semasa | mStar

“Umno patut bantu saya, bukan boikot” – Isa Samad

Isa pada sidang media, Jumaat lalu selepas mengumumkan akan bertanding sebagai calon bebas Parlimen Port Dickson. Foto Bernama

PORT DICKSON: Calon Bebas, Tan Sri Isa Samad berpendapat Umno sepatutnya menyokong beliau kerana secara logiknya, beliau menentang musuh BN dalam PRK Port Dickson.

Menurutnya, desas-desus mengatakan Umno mungkin akan mengambil tindakan terhadap anaknya, Mohd Najib kerana membantu kempen beliau hanya akan merugikan parti.

Tegasnya, jika benar Umno memecat anaknya yang juga Ketua Pemuda Umno Port Dicksong, parti itu sepatutnya berasa kecewa kerana kehilangan tokoh-tokoh muda dalam parti.

“Saya serahkan kepada Umno, tindakan yang nak diambil dalam hal ini. Salah ke tak salah, macam-macam kita boleh tafsir.

“Seperti saya kata sebelum ini, saya lawan musuh BN maka dari segi logiknya Umno patut sokong saya yang lawan musuhnya, bukan boikot,” katanya kepada pemberita dalam kempen beliau di Kampung Bagan Pinang, di sini, Isnin.

Ketika ditanya adakah beliau kecewa jika anaknya dipecat Umno, bekas Menteri Besar Negeri Sembilan itu menegaskan beliau tidak kecewa kerana sebelum ini beliau pernah digantung tiga tahun.

“Saya tiada apa nak kecewa jika nak pecat anak saya sebab dulu pun saya pernah digantung tiga tahun. Tak rasa apa-apa pun.

“Umno sepatutnya perlu kecewa (dengan tindakan pecat) jika ketiadaan tokoh muda dalam parti nanti,” ujarnya.

Tambahnya, beliau pernah menasihati anaknya meninggalkan Umno namun membiarkan anaknya membuat keputusan sendiri berhubung karier politiknya.

“Saya tak pernah suruh dia bantu (kempen). Bapa anda pernah suruh anda tolong dia tak (tanya kepada wartawan). Faham-fahamlah (anak bantu bapa),” katanya.

Dalam pada itu, Isa menegaskan beliau belum memikirkan untuk kembali kepada Umno sekiranya menang dalam PRK nanti. - Sinar Harian

Isa Samad

Artikel Sebelum

Tun M kecewa Najib tak seperti bapanya

Artikel Berikut

Artikel Berkaitan

Isa Samad keluar Umno

Artikel Lain