suria

Tutup pusat tahfiz jika pengetua bersalah - Mujahid

SEREMBAN: Kerajaan akan menutup pusat tahfiz di Kepong, Kuala Lumpur sekiranya pengetua pusat tahfiz tersebut didapati bersalah meliwat sembilan pelajarnya.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa berkata, tindakan tegas perlu diambil kerana perbuatan terkutuk seperti meliwat atau mencabul bukan sahaja mencemarkan nama baik institusi tahfiz malah mencalar imej baik agama Islam itu sendiri.

"Jangan kita menggunakan nama baik institusi tahfiz untuk melakukan perkara yang dilarang oleh agama. Perbuatan keji itu bukan sahaja memburukkan imej agama tetapi orang akan hilang kepercayaan terhadap institusi berkenaan.

"Individu yang terlibat perlu diambil tindakan dan sekolahnya juga perlu diberi amaran dan sekiranya ia melibatkan pengetua pusat tahfiz sendiri, kita terpaksa arah tutup kerana memalukan dan memberi kesan negatif," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Seminar Fiqh Kewarganegaraan (Fiqh Muwatanah) Dalam Naratif Malaysia Baharu di sini, Ahad. Turut hadir Menteri Besar Negeri Sembilan Aminuddin Harun.

Katanya, beliau akan meneliti laporan kes itu dan kemungkinan juga, suspek tidak dibenarkan untuk meneruskan pengajaran dan kembali ke pusat itu sekiranya diberikan ikat jamin oleh mahkamah sehingga kesnya selesai.

Sementara itu, beliau turut menasihati ibu bapa supaya menyemak terlebih dahulu pusat tahfiz sama ada berdaftar ataupun tidak agar keselamatan anak mereka lebih terjamin.

Semalam, media melaporkan seorang guru agama, yang merupakan pemilik pusat tahfiz berkenaan ditahan polis kerana dipercayai meliwat sembilan pelajar pusat tahfiz berkenaan.

Perbuatan terkutuk pengetua tahfiz itu melibatkan pelajar berusia antara lingkungan 11 hingga 16 tahun.-- Bernama

Mujahid, tahfiz

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain