suria

Empat sekeluarga maut MPV bertembung treler

Kemalangan maut membabitkan empat sekeluarga di Jalan Labis-Segamat. - Facebook/Komuniti Segamat

JOHOR BAHRU: Empat sekeluarga maut apabila  kenderaan  pelbagai  guna (MPV) jenis Honda Stream yang dinaiki terbabit dalam kemalangan dengan sebuah treler di Jalan Labis-Segamat, berhampiran Kampung  Melayu Raya dekat sini, Sabtu.

Ketua Polis Daerah Segamat Supt Raub Selamat ketika dihubungi Bernama berkata,  kejadian  berlaku  pada  pukul 1.40 tengah hari sewaktu hujan lebat dan kenderaan itu dalam perjalanan dari Labis menghala ke Segamat manakala treler dari Segamat ke Labis.

“Dalam kemalangan itu, empat mangsa iaitu masing-masing seorang lelaki dan wanita serta  seorang  kanak-kanak lelaki dan kanak-kanak perempuan telah meninggal dunia di tempat kejadian," katanya.  

Mangsa yang meninggal dunia ialah pemandu MPV, Nur Faizlin Jamaludin @ Samsudin, 37; suaminya  Nizam Daud, 51; anak mereka Muhammad Niyaz, 2, dan Nur Naqiya, 6, sementara seorang lagi anak pasangan itu, Muhammad Naqib, 9, terselamat.

Muhammad Naqib yang tercampak  keluar daripada MPV itu kemudian dibawa ke Hospital Segamat bersama pemandu treler terbabit yang turut cedera, katanya.

Menurut beliau, kejadian dipercayai berpunca daripada pemandu treler yang dikatakan hilang kawalan   sebelum terbabas melanggar bahagian hadapan kereta tersebut.

Sementara itu, Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Bandar Baru Segamat, Syed Putra Syed Mohamad berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai insiden pada pukul 1.35 tengah hari  sebelum menggerakkan lima anggota ke tempat kejadian.

“Sewaktu tiba kira-kira lapan minit kemudiannya, kami mendapati kesemua mangsa telah meninggal dunia akibat cedera parah. Mayat kesemuanya telah diserahkan kepada polis manakala mangsa cedera sudah dihantar lebih awal ke Hospital Segamat,” katanya.

Artikel Berikut

Artikel Lain