suria

Insiden Bas Rapid KL: Penjual burger diancam, dakwa ada pihak mahu buat kecoh di gerai

Gerai burger yang terlibat dalam kemalangan di antara sebuah bas Rapid KL dan sebuah kereta di persimpangan Flat Taman Keramat AU2 di sini, Khamis malam. Foto Bernama

KUALA LUMPUR: Seorang penjual burger dilaporkan menerima ancaman, susulan memuat naik video mengenai insiden kejar-mengejar membabitkan sebuah bas Rapid KL.

Mengimbas kembali kejadian itu, Muhamad Nur Azri Muhamad Arip, 22, berkata, dia baru sahaja habis bekerja dan pulang ke rumahnya di pangsapuri Columbia di Taman Keramat AU2.

"Saya baru lepas mandi semasa dengar bunyi kuat. Saya ke tingkap untuk melihat apa yang berlaku dan nampak gerai burger saya dirempuh. Saya dapat dengar abang saya menjerit.

"Saya bergegas ke bawah dan melihat ibu saya jatuh bersama bayi yang dipegangnya.

"Abang saya beritahu pemandu bas terus pergi selepas kemalangan," katanya, sambil menambah dia berang kerana pemandu bas enggan berhenti.

Muhamad Nur Azri berkata, dia segera mengejar dengan menaiki motosikalnya.

"Ia seperti mana dalam video yang saya muat naik di Facebook. Kami terus berteriak kepada pemandu untuk menghentikan bas, tetapi dia hanya terus memandu dan menyebabkan banyak kerosakan sepanjang jalan.

"Saya dapati ramai mendakwa di media sosial bahawa kami menggunakan kayu dan pedang samurai untuk menyerang pemandu bas.

"Itu benar-benar palsu. Kami tidak membawa sebarang senjata bersama," katanya, sambil menambah dia menerima ancaman berhubung kejadian itu.

Muhamad Nur Azri juga berkata, segelintir orang mendakwa dia mengetahui kumpulan untuk menyerang pemandu bas berkenaan.

"Saya tidak buat seperti itu. Jika pemandu bas berhenti dan turun dari bas selepas perlanggaran awal, ia tidak akan menjadi begitu buruk.

"Malah selepas pemandu bas merempuh semua kenderaan, dia masih cuba melarikan diri," katanya.

"Saya harap keadilan dapat ditegakkan dalam kes ini."

Muhamad Nur Azri mendakwa ancaman yang diterima termasuk salah satu dari kumpulan pemandu bas RapidKL, yang mengatakan mereka mahu berhadapan dengannya di gerai burger dan mencetuskan kekecohan.

"Saya telah membuat laporan polis di balai polis Hulu Kelang," katanya, sambil menambah dia akan memberikan kerjasama penuh polis.

gerai burger, bas Rapid KL

Artikel Sebelum

PH lawan PAS di Seri Setia

Artikel Lain