suria

PDRM umum pertukaran 17 pegawai kanan

KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) pada Khamis mengumumkan pertukaran 17 pegawai kanannya berkuat kuasa Ahad ini.

Ketua Komunikasi Korporat PDRM Urus Setia Ketua Polis Negara (KPN), SAC Datuk Asmawati Ahmad berkata pertukaran itu antaranya melibatkan Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Ramli Din yang dilantik sebagai Ketua Urus Setia KPN (Penyelidikan dan Pembangunan) Bukit Aman.

“Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (Siasatan Jenayah Komersial) Bukit Aman, Datuk Abd Rahim Jaafar pula bertukar jawatan sebagai Ketua Polis Kedah,” katanya dalam kenyataan di sini Khamis.

Beliau berkata Abd Rahim menggantikan Datuk Zainal Abidin Kasim yang dilantik sebagai Timbalan Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) (Gerakan/Pasukan Gerakan Am) Bukit Aman.

Asmawati berkata Timbalan Pengarah I Jabatan Sumber Strategik dan Teknologi (StaRT) Bukit Aman Datuk Mat Kasim Karim bertukar jawatan dengan Timbalan Ketua Polis Kedah Datuk Sahabudin Abd Manan.

Turut ditukarkan ialah SAC Kepolisan Am, Jabatan KDNKA Bukit Aman SAC Mohd Yusoff Mamat yang akan memegang jawatan sebagai Komander Pasukan Polis Marin di jabatan yang sama.

Asmawati berkata pertukaran lain membabitkan Ketua Penolong Pengarah (Siasatan/Perundangan/Kajian Kes) Bahagian Pematuhan Standard, Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman, Datuk Allaudeen Abdul Majid ke jawatan Timbalan Ketua Polis Terengganu.

Beliau berkata Allaudeen menggantikan Datuk Idris Abdullah yang kini memegang jawatan itu dan akan ditukarkan kepada SAC Kepolisan Am, Jabatan KDNKA Bukit Aman.

“Komander Briged Utara Pasukan Gerakan Am, Jabatan KDNKA Ulu Kinta, Perak, SAC Mohd Shahar Ibrahim bertukar jawatan kepada Ketua Penolong Pengarah (Siasatan/Perundangan/Kajian Kes) Bahagian Pematuhan Standard, Jabatan JIPS Bukit Aman.

“Jawatan Mohd Shahar akan diganti Ketua Penolong Pengarah Urusetia, Bahagian Kepolisan Am, Jabatan KDNKA Bukit Aman, ACP Norizan Murad,” katanya.

Turut bertukar, Ketua Polis Daerah Batu Pahat ACP Abdul Wahib Musa yang dilantik sebagai Ketua Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK) Kelantan.

Asmawati berkata tempat Abdul Wahib akan digantikan Komandan Maktab PDRM Kuala Kubu Bharu, Selangor ACP Azhan Abdul Halim manakala jawatan Azhan akan diisi Penolong Pengarah Perjawatan (Pegawai Rendah Polis dan Konstabel), Bahagian Perkhidmatan/Perjawatan, Jabatan Pengurusan Bukit Aman ACP Abd Khalid Othman.

Sementara itu, jawatan Abd Khalid pula akan digantikan Ketua Jabatan JPJKK Kelantan ACP Dr Che Ghazali Che Awang.

Katanya Timbalan Ketua Jabatan JPJKK (Perancangan Strategik) Perak ACP Razali Ibrahim dilantik sebagai Ketua Polis Daerah Kuala Kangsar.

Timbalan Ketua Polis Daerah Sentul Supt Mohamed Rafiq Mohamed Mustafa pula ditukarkan sebagai Ketua Penolong Pengarah Urusetia, Bahagian Kepolisan Am, Jabatan KDNKA Bukit Aman dengan memangku pangkat ACP.

Pertukaran lain melibatkan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Sabah Supt Mohamed Fadzil A Rahman yang dilantik sebagai Penolong Pengarah Narkotik (Pelucuthakan Harta), JSJN Bukit Aman dengan memangku pangkat ACP. - BERNAMA

PDRM

Artikel Berikut

Artikel Lain