suria

Kematian CEO Cradle Fund: Bomba serah laporan kepada polis

KUALA LUMPUR: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) telahpun  menyerahkan dua laporan lengkap siasatan kes kematian Ketua Pegawai Eksekutif  Cradle Fund Sdn Bhd, Nazrin Hassan kepada pihak Polis Diraja Malaysia setakat ini.

Penolong Pengarah Bahagian Penyiasatan Kebakaran JBPM Selangor, Hafisham Mohd Noor berkata  sebelum ini pihaknya telah menghantar laporan forensik awal disusuli laporan akhir kepada polis untuk siasatan lanjut.

“Bagaimanapun saya tidak boleh memaklumkan mengenai apa unsur yang ditemui di tempat kejadian kerana dikhuatiri mengganggu siasatan pihak polis,” katanya ketika dihubungi Bernama di sini, Selasa.

Pada 25 Jun lepas, Ketua Pengarah JBPM Mohammad Hamdan Wahid dilaporkan berkata laporan siasatan forensik JBPM berhubung kes kematian Nazrin yang terperangkap dalam kebakaran di rumahnya di Mutiara Damansara telah diserahkan kepada polis.

Beliau berkata siasatan bersama pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) menemui beberapa ‘input' baharu dan sampel tertentu telah dibawa ke makmal forensik JBPM di sini untuk siasatan lanjut. Hafisham berkata siasatan terperinci dijalankan melalui dua kaedah iaitu secara saintifik dan unit pengesan K9 JBPM.

Pada 14 Jun lepas, Nazrin ditemukan maut setelah terperangkap dalam satu kebakaran di tingkat atas rumahnya di Mutiara Damansara dengan kesan kebakaran sebanyak 30 peratus di badannya.

Dalam kejadian tersebut, media melaporkan Nazrin, 47, maut dalam kebakaran di kediamannya di Petaling Jaya kira-kira 12.20 tengah hari.

Bagaimanapun, polis semalam mengesahkan kes kematian Nazrin kini diklasifikasikan sebagai kes bunuh berikutan laporan pihak bomba serta laporan bedah siasat yang diperoleh.

Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor SAC Fadzil Ahmat berkata tiada tangkapan dilakukan setakat ini dan pihak polis sedang menjalankan siasatan.

Menurutnya, mana-mana individu yang dapat membantu siasatan akan dipanggil untuk memberi keterangan.  “Sekiranya ada perkembangan mengenai siasatan kes kita akan maklumkan,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.-- Bernama   


Cradle, Nazrin, bomba

Artikel Berikut

Artikel Lain