suria

Hakim Mohd Nazlan dengar kes Najib

Mohd Nazlan Mohd Ghazali. Foto Mohd Sahar Misni/The Star

KUALA LUMPUR: Hakim Mahkamah Tinggi, Mohd Nazlan Mohd Ghazali akan mengendalikan kes membabitkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Mengikut senarai kes di Mahkamah Tingggi Jenayah 3, Mohd Nazlan akan mendengar kes Najib pada 8 Ogos ini.

Mohd Nazlan menggantikan Hakim, Datuk Mohd Sofian Abd Razak yang sebelum ini mendengar kes Najib.

Ia sekali gus menjawab spekulasi mengenai siapa yang akan mengendalikan kes Najib, yang didakwa atas tuduhan pecah amanah dan salah guna kuasa berkaitan dana SRC International Sdn Bhd berjumlah RM42 juta.

Pada  4 Julai 2018, Najib mengaku tidak bersalah di hadapan Hakim Mohd Sofian atas tiga tuduhan pecah amanah dan satu tuduhan menyalahgunakan kuasa berkaitan dana SRC International Sdn Bhd berjumlah RM42 juta.

Sebelum ini media melaporkan, Hakim Mohd Sofian perlu menarik diri daripada mendengar kes Najib atas alasan abang kepada Hakim Mohd Sofian mempunyai kedudukan dalam Umno dan kerajaan Pahang.

Bagaimanapun pada 6 Julai lepas Pejabat Ketua Pendaftar, Mahkamah Persekutuan dalam kenyataan media berkata pemilihan hakim Mohd Sofian untuk mendengar kes  Najib dibuat  secara rawak yang dilaksanakan secara dalam talian melalui Portal e-Filing Mahkamah.

Mohd Sofian ditukarkan ke Mahkamah Tinggi Sivil 10. Pertukaran mereka berkuat kuasa I Ogos 2018 dan surat pertukaran itu telah ditandatangani Hakim Besar Malaya Tan Sri Zaharah Ibrahim pada 24 Julai 2018.

Mohd Nazlan Mohd Ghazali

Artikel Lain