suria

Ugutan bunuh: Kor Ming serahkan polis siasat

Nga Kor Ming.

IPOH: Ahli Parlimen Teluk Intan, Nga Kor Ming menyerahkan sepenuhnya kepada polis untuk menyiasat ugutan bunuh yang diterima melalui media sosial Facebook, Jumaat.

Beliau berkata, laporan polis dan Suruhannya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) berhubung perkara itu dibuat dan pihaknya berharap siasatan dilakukan adalah menyeluruh termasuk mengelak kes sama berulang kepada pemimpin lain.

“Secara jujurnya saya terkejut dan ini ugutan pertama saya terima sebaik dilantik sebagai Timbalan Speaker (Dewan Rakyat).

“Saya melihat isu ini bukan berkaitan saya sahaja, tetapi keselamatan seluruh pimpinan kerajaan termasuklah perdana menteri, harap pihak berkuasa dapat menjalankan siasatan terperinci agar kes-kes ugut seperti ini tidak lagi dimainkan,” katanya selepas menyempurnakan perasmian Pusat Khidmat Dun Kepayang, Sabtu.

Pada Jumaat, Adun Keranji, Chong Zhemin membuat laporan polis berkaitan ugutan bunuh melalui media sosial Facebook terhadap Timbalan Speaker Dewan Rakyat, Nga Kor Ming dan Timbalan Menteri Pertahanan, Liew Chin Tong.

Laporan itu dibuat terhadap seorang pengguna Facebook yang dikenali sebagai ‘Jing Hong’, memuat naik gambar memaparkan kedua-dua pemimpin berkenaan bersama gambar sepucuk pistol disertai kenyataan “Kedua-dua kamu dari Pakatan Harapan buat saya marah, kamu dua-dua tunggu, saya akan bunuh kamu, kamu akan temankan Teoh Beng Hock.”

Kor Ming berkata, perbezaan politik sama sekali tidak membenarkan apa juga bentuk kekerasan dan kecaman seumpama itu dilakukan kepada pemimpin.

“Ini bukan budaya kita dan ia perlu dilarang dengan pendekatan sebaiknya,” katanya.

Beliau yang memenangi kerusi Parlimen Teluk Intan dan DUN Aulong pada PRU14 lalu dilantik sebagai Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, 16 Julai lepas bersama Ahli Parlimen Batu Pahat, Datuk Mohd. Rashid Hasnon. - Sinar Harian

Nga Kor Ming

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain