suria

“Saya tak nak tuduh sesiapa…” – Bapa Naufal Amsyar

Nabil ketika ditemui di pekarangan forensik Hospital Pakar Sultanah Fatimah.

MUAR: Bapa kepada Naufal Amsyar, 10 bulan, bayi yang meninggal dunia selepas dipercayai mengalami kecederaan parah di tempurung kepala hanya menyerahkan kes anaknya itu kepada pihak berkuasa untuk diteliti.

Nabil Fikri Anwar, 28, berkata, dia tidak menyalahkan sesiapa jauh sekali menuduh selepas pengasuh wanita yang sempat menjaga Naufal Amsyar selama dua minggu mengaku bayi berkenaan pernah terjatuh dari buaian sebanyak dua kali ketika berada dalam pengawasannya.

“Saya tak nak tuduh sesiapa namun saya harap pihak berkuasa dapat jalankan siasatan terperinci.

“Sekiranya punca kemalangan anak saya ini adalah disebabkan kecuaian yang tidak disengajakan, kami faham. Namun jika sebaliknya (niat mendera), saya harap kebenaran terbukti dan tindakan undang-undang dapat diambil,” katanya ketika ditemui di pekarangan forensik Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF), di sini, Sabtu.

Selasa lalu, Naufal Amsyar yang dijaga seorang pengasuh wanita dimasukkan ke hospital selepas dipercayai diserang sawan sebelum pemeriksaan mendapati terdapat kesan lebam di dahi kiri, pendarahan mata dan retak tempurung kepala.

Bagaimanapun, pagi Sabtu, bayi tersebut dilaporkan meninggal dunia selepas empat hari bertarung nyawa di hospital.

Dalam pada itu, Nabil berkata, jenazah anaknya akan disembahyangkan di surau berdekatan rumah lama mereka di Jalan Ong Siong sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bukit Kontang, Tangkak. - Sinar Harian

Naufal Amsyar

Artikel Lain