suria

PM, TPM tak terkecuali etika rasuah

PETALING JAYA: Perdana Menteri, timbalannya serta semua Ahli Parlimen Pakatan Harapan (PH) tidak akan terlepas daripada tindakan undang-undang sekiranya  didapati terlibat dalam gejala rasuah.

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, ketetapkan ini berikutan undang-undang berkenaan perkara tersebut telah disyorkan Jawatankuasa Khas Kabinet Mengenai Anti-Rasuah (JKKMAR) yang bermesyuarat pagi Isnin.

"Kerajaan memang berhasrat mencegah rasuah. Ini bukan perkara mudah kerana ia berlaku dalam pelbagai bentuk dan kita perlu ada undang-undang.

"Terdapat keputusan sebelum ini bahawa perdana menteri bukan anggota pentadbiran tetapi kami putuskan PM dan TPM adalah anggota pentadbiran bersama wakil rakyat dalam parti kerajaan.

"Mereka (PM, TPM, wakil rakyat PH) tak terlepas undang-undang kalau mereka menerima, memiliki aset yang mereka tak dapat jelaskan bagaimana mereka dapat aset itu. Jadi mereka semua perlu mengisytiharkan aset mereka, pendapatan mereka," katanya pada sidang media di Putrajaya, tengah hari Isnin.

Bagaimanapun, beliau berkata kelonggaran akan diberikan kepada anggota pentadbiran sekiranya mereka menerima hadiah dalam bentuk bunga, makanan dan juga plak sebagai tanda kenangan atau penghormatan.

"(Hadiah) plak atau satu tanda penghormatan kadang-kadang diperbuat daripada pewter... itu dibenarkan tapi perlu diisytiharkan juga. Mereka perlu beritahu kepada pihak bertanggungjawab.

"Namun jika diberi kereta Mercedes, dia perlu menolaknya, begitu juga jika diberi kereta Proton," katanya secara berseloroh.

Jelas Dr Mahathir, sehubungan itu, kod etika akan dipinda untuk memasukkan senarai terkini pemimpin termasuk perdana menteri, timbalan perdana menteri dan Ahli Parlimen PH dalam undang-undang berkaitan rasuah.

Sementara itu, katanya lagi, jawatankuasa tersebut memutuskan undang-undang berkaitan dana politik juga suatu keperluan dan akan diwujudkan.

"Politik memerlukan wang dan pilihan raya juga memerlukan wang. Jadi dari mana duit itu datang. Sudah tentu ahli (parti) dan penyokong akan memperuntukkan wang.

"Namun apabila penyokong memperuntukkan pembiayaan dengan harapan jika parti politik itu menang mereka akan mendapat manfaat, itu dikira rasuah," katanya.

Justeru, Dr Mahathir berkata, kerajaan PH sedang mengkaji amalan pencegahan rasuah berkaitan dana politik di negara lain khususnya Jerman.

"Di negara lain, kerajaan menyediakan dana untuk parti politik. Ia dilakukan di Jerman. Kita perlu mengkaji sama ada sesuatu kita boleh lakukan.

"Kita akan memperkenalkan undang-undang berkaitan dana politik yang tidak melibatkan manfaat kepada penderma," katanya.

rasuah, Tun M

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain