suria

PRK Sungai Kandis: 4 Ogos, undi hingga 5.30 petang

PETALING JAYA: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Kandis akan diadakan pada 4 Ogos ini.

SPR juga mengumumkan tarikh penamaan calon bagi kerusi N49 pada 21 Julai ini.

Timbalan Pengerusi SPR, Tan Sri Othman  Mahmood berkata, tempoh berkempen bagi PRK kali ini adalah selama 14 hari.

"Calon parti politik bertanding dibenarkan berkempen mulai tarikh penamaan calon hingga jam 11.59 malam pada 3 Ogos nanti," katanya pada sidang media selepas mesyuarat suruhanjaya itu di Putrajaya, Isnin.

PRK Sungai Kandis adalah yang pertama sejak Pilihan Raya Umum (PRU14) pada 9 Mei lalu yang memberi kemenangan kepada Pakatan Harapan (PH), sekali gus membentuk kerajaan.

Penyandang kerusi berkenaan yang juga calon PKR, Mat Shuhaimi Shafiei meninggal dunia akibat penyakit kanser pada 2 Julai lalu dan susulan itu Speaker DUN Selangor, Ng Suee Lim memaklumkan kekosongan kerusi berkenaan sehari selepas itu.

Othman berkata, berdasarkan senario itu, SPR perlu menetapkan PRK dalam masa 60 hari dari tarikh kekosongan kerusi berkenaan.

Tambah beliau lagi, SPR melakukan tiga penambahbaikan untuk mengurangkan kesesakan di tempat mengundi dan memberi keselesaan kepada pengundi menunaikan tanggungjawab masing-masing pada PRK kali ini.

"Bagi pengundi 60 tahun dan ke atas, diwujudkan dua saluran.

"SPR juga menambah saluran mengundi di pusat mengundi jumlah pemilih yang ramai. Sebanyak 21 saluran baru diwujudkan bagi mengelakan pengundi terlalu ramai di satu-satu saluran, menjadikan keseluruhan 109 saluran berbanding 88 saluran pada PRU14 yang lalu.

"SPR juga memanjang tempoh masa mengundi dari pukul 8 hingga 5.30 petang berbanding 5 petang sebelum ini," katanya.

SPR, PRK, Sungai Kandis

Artikel Lain