suria

"Kamu tetap bro saya"

PETALING JAYA: Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman menyifatkan tugas yang dijalankan 'pegawai akhbar', Numan Afifi Saadan sebagai tiada tolok bandingnya.

Ahli Parlimen Muar itu dalam satu kenyataan ringkas di laman Twitternya pada Isnin turut memaklumkan beliau menghormati keputusan peletakan jawatan Numan.

"Perkhidmatan kamu tidak ternilai bro sejak hari kempen kita.

"Semoga sentiasa tabah dan saya sentiasa menghormati keputusan kamu.

"Kamu akan sentiasa menjadi bro saya," katanya.

Paparan skrin Twitter Syed Saddiq.

Numan mengumumkan peletakan jawatannya di Kementerian Belia dan Sukan (KBS) pada pagi Isnin menerusi Facebooknya.

"Kecaman dan ancaman yang hebat oleh ejen propaganda pembangkang telah menyebabkan mustahil untuk saya menjalankan amanah yang diberikan,
justeru saya mengambil keputusan untuk tidak bertugas secara rasmi di kementerian. Saya akan ke luar negara dalam masa terdekat untuk menentukan apa hala tuju saya selepas ini.

"Saya merakamkan setinggi-tinggi terima kasih kepada saudara Syed Saddiq atas peluang dan tunjuk ajar yang diberi sepanjang kempen pilihan raya di Muar dan fasa transisi di kementerian. Ia adalah satu penghormatan untuk berkhidmat untuk beliau," katanya.

Pada masa sama, Numan menegaskan belum ada lantikan pegawai khas secara rasmi di pejabat menteri berkenaan setakat ini.

Sebaliknya dia menjelaskan selama ini hanya membantu Ahli Parlimen Muar yang juga sahabatnya sebagai pegawai akhbar sementara.

"Saya berhasrat untuk mengulangi dan menegaskan kenyataan YB Menteri, setakat ini belum ada sebarang perlantikan rasmi di pejabat menteri.

"Saya telah mengambil keputusan untuk hanya menolong sahabat saya, saudara Syed Saddiq sebagai pegawai akhbar sementara," katanya.

Numan merupakan presiden Kempen Pelangi yang menjadi tumpuan media kerana menganjurkan program “Iftar Gay” pada Jun 2017.

Syed Saddiq, Numan, KBS

Artikel Lain