suria

Najib selesai bayar baki jaminan RM500,000

Najib hadir di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur, Jalan Duta pagi Isnin bagi membayar baki jaminannya. - fotoBERNAMA

KUALA LUMPUR: Bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang menghadapi tiga pertuduhan melakukan pecah amanah dan satu pertuduhan menyalahgunakan jawatannya berhubung dana SRC International Sdn Bhd berjumlah RM42 juta, melunaskan baki bayaran jaminan berjumlah RM500,000 pada Isnin.

Bayaran itu dibuat dua anak Anggota Parlimen Pekan itu, Nooryana Najwa dan Norashman yang tiba tepat pukul 10.04 pagi di Kompleks Mahkamah Jalan Duta, di sini.

Turut hadir menantu Najib, Daniyar Kessibayev yang merupakan suami Nooryana Najwa.

Sebaik tiba, Nooryana Najwa dan Norashman yang hadir sebagai penjamin, dilihat terus ke bahagian Pendaftaran Jenayah Mahkamah Tinggi di tingkat 1, sebelum Najib diiringi isterinya Datin Seri Rosmah Mansor tiba pada 11.43 pagi dan masuk ke bilik sama untuk menandatangani dokumen berkaitan jaminan.

Selesai urusan itu, Najib, yang akan genap usia 65 tahun pada 23 Julai, keluar dari bilik dan menerima ‘Tabung Solidariti Bebaskan Najib' daripada Ketua Sekretariat Solidariti Najib Razak, Datuk Mohd Razlan Muhammad Rafii berjumlah RM489,166.

Tidak lama kemudian Najib bersama Rosmah beredar menaiki kenderaan pelbagai guna MPV Toyota Vellfire berwarna putih dan perdana menteri keenam itu yang kelihatan ceria sempat melambai ke arah penyokongnya yang turut melaungkan kalimah ‘Allahuakhbar!', hidup Najib!' dan ‘bebaskan Najib!'.

Rabu lepas, Najib mengaku tidak bersalah di Mahkamah Tinggi di sini atas tiga pertuduhan melakukan pecah amanah dan satu pertuduhan menyalahgunakan jawatannya, berhubung dana SRC International Sdn Bhd berjumlah RM42 juta.

Hakim Datuk Mohd Sofian Abd Razak membenarkan Najib diikat jamin RM1 juta dalam bentuk tunai dan turut membenarkan Najib membayar jaminan itu secara ansuran sehingga Isnin (9 Julai) selain menetapkan 8 Ogos bagi pengurusan kes itu.

Pada hari itu, Norasman dan Nooryana Najwa, membayar wang jaminan RM500,000, separuh daripada jumlah RM1 juta dan memberi perakuan akan melunaskan bakinya sebelum 3 petang Isnin ini.

Najib didakwa sebagai seorang penjawat awam dan ejen iaitu Perdana Menteri dan Menteri Kewangan Malaysia, Advisor Emeritus SRC International Sdn Bhd (SRC) dan dalam kapasiti itu diamanahkan dengan penguasaan ke atas wang milik SRC berjumlah RM4 bilion, telah melakukan pecah amanah jenayah terhadap wang sejumlah RM27 juta.

Beliau dituduh melakukan perbuatan itu di AmIslamic Bank Berhad, Bangunan Ambank Group, No 55, Jalan Raja Chulan, di sini antara 24 Disember 2014 dan 29 Disember 2014 mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan dengan sebat dan boleh juga dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan kedua, Najib didakwa atas pertuduhan sama melibatkan jumlah RM5 juta wang milik SRC di tempat dan tarikh sama manakala bagi pertuduhan ketiga, Najib dituduh melakukan kesalahan sama membabitkan wang SRC berjumlah RM10 juta di tempat sama antara 10 Februari 2015 dan 2 Mac 2015, mengikut seksyen serupa.

Bagi pertuduhan keempat, Najib didakwa sebagai seorang pegawai badan awam iaitu Perdana Menteri dan Menteri Kewangan Malaysia, telah menggunakan jawatan untuk suapan bagi dirinya berjumlah RM42 juta apabila dia mengambil bahagian atau terlibat dalam keputusan bagi pihak kerajaan Malaysia untuk memberikan jaminan kerajaan bagi pinjaman-pinjaman berjumlah RM4 bilion daripada Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) kepada SRC International Sdn Bhd.

Dia dituduh melakukan perbuatan itu di Pejabat Perdana Menteri, Presint 1, Putrajaya, Wilayah Persekutuan Putrajaya, antara 17 Ogos 2011 dan 8 Februari 2012.

Pertuduhan mengikut Seksyen 23 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 24 akta sama memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai suapan yang menjadi hal perkara kesalahan itu, jika suapan itu dapat dinilai atau berbentuk wang, atau RM10,000 mengikut mana-mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain