suria

Petisyen gesa Agong pecat Tommy kerana lemah BM

Tommy Thomas.

PETALING JAYA: Seorang rakyat Malaysia membuat satu petisyen secara dalam talian bagi menggesa Yang di-Pertuan Agong memecat Peguam Negara (AG), Tommy Thomas kerana kelemahannya bertutur dalam bahasa Melayu.

Petisyen di change.org yang dimulakan oleh Fyizuddin Jaafar pada Rabu lalu setakat ini memperoleh lebih 1,765 tandatangan.

Ironinya, kenyataan itu terdapat beberapa kesilapan tatabahasa dan ejaan.

Berikut merupakan penjelasan petisyen berkenaan:

"AG WITHOUT BAHASA MELAYU QUALIFICATION MUST NOT BE CONSIDER TO BE APPOINTED AS AN AG. THIS IS AN EMBARRASSING TO THE COUNTRY AND MALAYSIAN TOO. THIS ALSO WILL DAMAGE THE BRAVERY OF THE HONOURABLE HIS MAJESTY YDPA. WE SUPPORT YDPA FOR REPLACING AND FIRED THE EMBARRASSING AG OF MALAYSIA. NO MORE JOKES ON THIS SERIUS MATTER PLEASE." 

(Terjemahan: AG tanpa kelayakan Bahasa Melayu tidak seharusnya dipertimbangkan sebagai AG. Ia sesuatu yang memalukan kepada negara dan juga rakyat Malaysia. Ia juga akan menjejaskan kedaulatan Yang di-Pertuan Agong. Kami menyokong Yang di-Pertuan Agong menggantikan dan memecat AG Malaysia yang memalukan. Harap tidak bergurau untuk perkara yang serius ini).

Pada Rabu, bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak didakwa dengan tiga pertuduhan pecah amanah dan satu pertuduhan rasuah membabitkan dana 1Malaysia Development Bhd (1MDB).

Thomas yang mengetuai pasukan pendakwaan terhadap Najib memohon prosiding dilakukan dalam bahasa Inggeris, berbanding bahasa Melayu, bahasa kebangsaan.

Tommy mengakui dirinya perlu mengasah penguasaannya dalam bahasa kebangsaan.

"Masalah di sektor swasta ialah, yang mana saya telah berkhidmat selama 42 tahun, saya berurusan dengan pelanggan komersial dan dokumen komersial dan saya mengabaikan bahasa Melayu. Saya berjanji untuk menguasainya," katanya.

Tommy Thomas

Artikel Lain