suria

Zakir Naik tak dihantar pulang selagi tak cetus masalah - PM

PETALING JAYA: Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad menegaskan pendakwah bebas, Dr Zakir Naik tidak akan dihantar pulang ke India selagi beliau mematuhi undang-undang di negara ini.

"Selagi dia tidak mencetuskan sebarang masalah, kita tidak akan hantar dia pulang kerana dia memiliki status penduduk tetap (PR) di negara ini," katanya pada sidang media selepas mesyuarat Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) di Yayasan Kepimpinan Perdana, Putrajaya pada Jumaat.

Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai pendiriannya terhadap Zakir.

Beberapa portal berita pada Rabu melaporkan bahawa pendakwah itu bakal dihantar pulang ke India.

Bagaimanapun, Ketua Polis Negara Tan Sri Mohamad Fuzi Harun menafikan dakwaan tersebut.

Beliau berkata, setakat hari ini tiada sebarang arahan dikeluarkan berkenaan perkara itu.

"Saya nafikan sebarang laporan mengenai usaha untuk menghantar pulang beliau (Zakir) hari ini.

"Saya tidak boleh komen dengan lebih lanjut, buat masa ini, beliau tidak akan dihantar pulang pada hari ini (malam Rabu)," katanya.

Perkara itu turut dinafikan pihak peguam yang mewakili Zakir.

Zakir meninggalkan India pada 2016 selepas didakwa terbabit dengan kegiatan serangan pengganas di Dhaka selain pengubahan wang haram.

Kerajaan India membatalkan pasport Zakir setelah beliau banyak kali mengabaikan permintaan untuk hadir ke Badan Penyiasatan Kebangsaan India (NIA) bagi membantu siasatan.

Dr Zakir Naik, Tun M

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain