suria

Anak bekas Exco Terengganu maut kemalangan

Gambar hiasan.

KUALA TERENGGANU: Anak lelaki bongsu bekas anggota exco kerajan negeri Terengganu, Datuk Mohd Jidin Shafie, maut selepas motosikal Yamaha Y15ZR yang ditungganginya bertembung dengan sebuah kereta di Jalan Sultan Zainal Abidin, di sini, Isnin.

Dalam kejadian kira-kira jam 5 petang itu, mangsa, Muhammad Izzat Husaini, 17, dilaporkan mengalami kecederaan parah pada anggota badan dan meninggal dunia ketika menerima rawatan kecemasan di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ).

Bagaimanapun, keadaan pemandu kereta itu belum diketahui.

Bapa mangsa, Mohd Jidin, ketika ditemui di Jabatan Forensik HSNZ, berkata anak bongsunya itu keluar dari rumah mereka di Kampung Losong di sini pada jam 2 petang untuk beraya di rumah rakannya di Chendering.

"Saya dimaklumkan kemalangan berlaku ketika Izzat dalam perjalanan pulang ke rumah pada kira-kira 5 petang tadi (Isnin).

"Saya menerima kehilangan anak bongsu saya pada Syawal keempat sebagai takdir dan redha dengan pemergiannya,” kata bekas Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Permaisuri itu.

Jenazah Allahyarham, yang juga pelajar Kolej Vokasional Wakaf Tembesu, itu dikebumikan di Tanah Perkuburan Sheikh Ibrahim, Ladang, selepas solat Isyak di Masjid Al-Khalifah, Jalan Pusara di sini.

Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan dan Pengkuatkuasaan Trafik negeri, Supt. Abd. Razak Hasan, ketika dihubungi, mengesahkan kejadian itu.

Beliau berkata kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. - BERNAMA

maut, kemalangan, anak Exco

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain