suria

Tak menang tangan buat rendang maman

Zul menunjukkan produk Rendang Maman Acu yang dihasilkan bersama isterinya ketika berniaga di Pasar Tani Rembau.

TAMPIN: Pasangan suami isteri ini, Zul Samsudin, 52, dan Rosnah Abdullah, 50, membawa imej yang cukup sinonim dengan Gemencheh melalui produk jualan mereka sejak tahun 2015 iaitu Rendang Maman Acu.

Zul berkata, mereka berdua nekad menceburi bidang perniagaan berasaskan makanan apabila harga komoditi getah rendah sedangkan mereka perlu menjana pendapatan lain bagi menampung keperluan keluarga.

Menurut bapa kepada lima orang anak itu, mereka akhirnya tampil dengan idea menarik untuk mengetengahkan produk Rendang Maman Acu menggunakan resipi turun temurun daripada ibu mentuanya.

“Syukur kepada ALLAH, kejatuhan harga getah memberi hikmah besar buat kami sekeluarga apabila produk rendang yang bercampur sayur maman mendapat sambutan begitu menggalakkan bukan hanya dari penduduk setempat, bahkan Johor, Kuala Lumpur dan lain-lain negeri lagi.

“Mereka bukan hanya boleh mendapatkan produk ini di Rendang Maman Acu (RMA) Enterprise di Kampung Gedok, Gemencheh, malah kami turut menawarkan khidmat cash on delivery (COD),” katanya.

Zul berkata, selain khidmat COD, produk Rendang Maman Acu turut dihantar melalui pos laju ke sekitar Sabah dan Sarawak.

Katanya, produk berkenaan dibuat secara bergotong-royong bersama isterinya yang bekerja sebagai guru.

400 kg maman sempena perayaan

Zul berkata, semasa bulan Ramadan dan Syawal permintaan Rendang Maman Acu melonjak lebih tinggi sehingga memerlukan lebih 400 kilogram sayur maman.

Menurutnya, bilangan berkenaan boleh menghasilkan hampir 3,000 bekas rendang maman untuk dijual dengan berat sekitar 150 gram dan 250 gram setiap satu.

“Sekarang ni orang dah makin ramai pandai makan maman. Jadi permintaan makin bertambah dari tahun ke tahun. Tahun ini permintaan makin bertambah dan kami tidak menang tangan untuk memenuhi permintaan pelanggan.

“Kami seronok memperkenalkan menu makanan Moncheh (Gemencheh), lebih-lebih lagi rendang maman ini disenaraikan sebagai 50 hidangan terlazat di dunia oleh CNN International menerusi pencarian daftar makanan World’s 50 Most Delicious Foods pada tahun 2011,” katanya.

Bantu industri maman, santan

Menurutnya, dia tidak menyangka air tangannya bersama isteri itu memberi pulangan yang cukup lumayan, sekali gus membantu rakan-rakan lain berniaga.

“Kami memang memerlukan sayur maman dan santan sebagai bahan utama penghasilan produk ini. Secara tidak langsung, kami membantu rakan-rakan yang mengusahakan menjual sayur maman, cili, asam keping dan santan.

Katanya, dia amat berharap dapat meluaskan lagi produk Rendang Maman Acu di bawah bimbingan pelbagai agensi kerajaan di bawah Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani (MOA).

“Malah, peluang ini juga diberikan liputan yang cukup meluas dari pelbagai media sehingga kami dapat memperkenalkan produk ini di kaca televisyen.

“Kami harap lebih ramai lagi yang akan dapat merasai kesedapan dan kelazatan Rendang Maman Acu,” katanya.

Selain rendang maman, Zul berkata, syarikatnya turut menawarkan produk jeruk maman.

Info: Pokok maman

- Nama saintifiknya ialah cleome gynandra.

- Ditanam secara meluas di Terengganu dan Negeri Sembilan.

- Juga terdapat di negara Asia lain dan Afrika.

- Terdapat beberapa jenis seperti maman bunga ungu, maman bunga kuning dan maman hantu.

- Pokok maman boleh capai ketinggian 1 meter. - Sinar Online

rendang maman

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain