suria

Jet ski: Operasi digantung di Batu Ferringhi

GEORGE TOWN: Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) menggantung serta merta operasi operator jet ski di pantai Batu Ferringhi, dekat sini yang terlibat dalam insiden membabitkan seorang kanak-kanak lelaki sembilan tahun yang maut selepas jet ski yang dinaikinya bertembung dengan sebuah lagi jet ski pada Isnin.

Datuk Bandar MBPP Yew Tung Seang berkata satu jawatankuasa siasatan berhubung insiden itu telah ditubuhkan dan keputusan menggantung operator terbabit dibuat dalam mesyuarat pagi ini.

"Kita telah pun adakan satu jawatankuasa siasatan yang bersidang pagi tadi. Tindakan lanjut akan kami ambil setelah mendapat hasil siasatan dari pihak berkaitan.  "Buat masa ini kami mengambil keputusan untuk menggantungkan operasi oleh operator itu dengan serta merta sehingga siasatan selesai," katanya kepada pemberita, di sini, Rabu.

Beliau berkata pihaknya masih menunggu laporan dan hasil siasatan dari polis untuk mengetahui punca sebenar insiden itu.  Mengulas lanjut, Yew berkata pihaknya sangat mengambil berat berhubung aspek dan langkah keselamatan di kawasan itu.

"Peraturan dan garis panduan memang telah ada. Keselamatan di kawasan itu sentiasa menjadi perhatian  kami. Dengan semua langkah yang kami ambil ... kejadian seumpama itu berkurangan dengan ketara . Ini adalah kes pertama yang berlaku di sini, tidak pernah berlaku sebelum ini.

"Kami masih tidak tahu apa punca sebenar kejadian ini, biarlah polis melakukan siasatan dahulu.” katanya.

Dalam kejadian kira-kira pukul 7.30 petang itu, Jordan Phang Wen Jie maut selepas jet ski yang dinaikinya bersama seorang lelaki yang juga pengendali jet ski berkenaan bertembung dengan sebuah lagi jet ski yang dipandu ibunya di pantai Batu Ferringhi, belakang Hotel Hard Rock, dekat sini pada Selasa.

Phang, yang berasal dari Petaling Jaya, Selangor, maut selepas terjatuh ke dalam laut akibat perlanggaran berkenaan.

Kanak-kanak lelaki itu bersama keluarganya bercuti selama tiga hari di negeri ini.-- Bernama

Batu Ferringhi, jet ski

Artikel Lain