suria

Kesultanan Johor tak guna wang rakyat tapi...

Foto Pejabat Media Diraja Johor

JOHOR BAHRU: Kesultanan Johor sejak zaman pemerintahan Almarhum Sultan Sir Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Abu Bakar pada 1899 sentiasa mendermakan gaji Sultan yang diperuntukkan oleh kerajaan negeri bagi membantu mereka yang memerlukan.

Menerusi kenyataan Pejabat Media Diraja Johor yang dimuat naik di halaman rasmi Sultan Ibrahim di Facebook berkata, usaha tersebut kemudian diteruskan dan diselaraskan pada zaman pemerintahan Almarhum Sultan Iskandar Ibni Almarhum Sultan Ismail di mana dana tersebut disalurkan kepada satu tabung yayasan yang dikenali sebagai Yayasan Sultan Iskandar.

Malah katanya, ketika Almarhum Sultan Iskandar menjadi Yang di-Pertuan Agong ke-8 dari 1984 hingga 1989, semua gaji dan elaun yang diterima daripada Kerajaan Persekutuan diberikan kepada yayasan tersebut.

Yayasan Sultan Iskandar bukan sahaja membantu golongan miskin, tetapi juga menyediakan bantuan semasa bencana alam dan dana untuk pendidikan.

Menurut kenyataan itu lagi, Segala hasil atau pendapatan Kesultanan Johor datang daripada pengurusan perladangan sejak zaman Almarhum Sultan Sir Ibrahim sehingga kini, dan beberapa perniagaan yang lain termasuk hartanah.

Sultan Johor kini, DYMM Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar turut mempunyai yayasan sendiri yang bertujuan memberi bantuan pendidikan, kebajikan, biasiswa pelajar miskin, perubatan serta bantuan kepada warga emas dan orang kurang upaya.

Dana untuk yayasan berkenaan adalah sumbangan daripada semua elaun diraja yang diterima Baginda.

Sultan Johor, Sultan Ibrahim

Artikel Lain