suria

Najib tinggalkan ibu pejabat SPRM, kembali beri keterangan Khamis ini

PUTRAJAYA: Datuk Seri Najib Tun Razak meninggalkan ibu pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dekat sini kira-kira pukul 3.15 petang selepas disoal siasat selama beberapa jam pada Selasa.

Dalam komen ringkasnya kepada media, Najib berkata beliau akan kembali untuk disoal siasat lebih lanjut pada Khamis.

Keterangan Najib direkodkan pada Selasa berhubung siasatan terhadap SRC International Sdn Bhd, bekas anak syarikat 1Malaysia Development Bhd (1MDB).

Terdahulu Ketua Pesuruhjaya SPRM Datuk Seri Mohd Shukri Abdull berkata bekas perdana menteri itu tidak akan ditahan, sebaliknya kenyataannya akan direkodkan sebelum sebarang tindakan boleh diambil.

Dalam sidang media terdahulu, Shukri berkata SPRM akan mengambil keterangan dua orang saksi berkaitan SRC International dan 1MDB.

Jumaat lepas, sepasukan pegawai SPRM berkunjung ke rumah Najib di Taman Duta di Kuala Lumpur untuk menghantar notis meminta Anggota Parlimen Pekan itu hadir ke pejabat SPRM untuk memberi keterangan bagi membantu siasatan kes berkenaan.

Pada 26 Januari 2016, media melaporkan Peguam Negara Tan Sri Mohamed Apandi Ali mengesahkan bahawa tiada sebarang kesalahan jenayah dilakukan Najib berkaitan kes melibatkan dana RM2.6 bilion dan SRC International.

Najib Tun Razak, SPRM, 1MDB

Artikel Berikut

Artikel Lain