suria

PM perlu dilantik hari ini juga - Tun M

PETALING JAYA: Pakatan Harapan (PH) menggesa majlis angkat sumpah perdana menteri ketujuh dilakukan segera pada Khamis selepas mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong Sultan Muhammad V.

Pengerusinya, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, ia perlu disegerakan atau negara ini terus tidak memiliki kerajaan dan perkara pertama yang perlu dilakukan adalah melantik seorang perdana menteri. 

"Kami mempunyai empat parti yang kami panggil dengan nama PH, tapi kami bertanding menggunakan logo salah satu parti kami. 

"Bagaimanapun, terdapat kelewatan disebabkan salah faham tentang perlembagaan tapi kami mahu menjelaskan bahawa terdapat 'urgency' untuk membentuk kerajaan sekarang, hari ini.  

"Hari ini, saya ingin menekankan PH telah memenangi majoriti yang jelas, jadi kami berhak untuk membentuk kerajaan," katanya pada sidang media khas PH yang diadakan di Hotel Sheraton pada Khamis. 

Menurut beliau, perlembagaan menyatakan bahawa perdana menteri perlu mendapatkan sokongan daripada majoriti ahli Parlimen dan bukannya sokongan daripada mana-mana parti. 

Jelas Dr Mahathir, selagi calon yang dicadangkan mendapatkan sokongan majoriti, calon tersebut berhak untuk menjadi perdana menteri.

Dr Mahathir mengadakan sidang media khas bersama barisan pemimpin PH lain berhubung pelantikan perdana menteri oleh YDP Agong.

"Buat masa ini, tiada kerajaan Malaysia. Peranan Najib sebagai penjaga kerajaan sementara telah tamat sejak malam tadi.

"Ini adalah peranan Yang di-Pertuan Agong yang akan membuat keputusan berdasarkan keputusan sokongan majoriti ahli Parlimen," tambahnya.

Tun berkata parti tersebut juga telah meminta ahli Parlimen yang bernaung di bawah PH untuk menandatangani dan mengisytiharkan yang mereka menyokong calon yang dipilih oleh parti itu sebagai perdana menteri, iaitu dirinya seperti yang telah dipersetujui sebelum ini.

Pemimpin keempat-empat parti yang membentuk pakatan telah menulis dan menandatangani surat kepada Yang di-Pertuan Agong, meminta agar upacara angkat sumpah perdana menteri ketujuh diadakan secepat mungkin, pada Khamis.

Kini, semua ahli Parlimen yang belong kepada PH termasuk Warisan di Sabah telah menandatangani deklarasi yang sama.

Walaupun PH menang 121 kerusi, ia akan ditambah dengan 14 kerusi Warisan dan beberapa kerusi daripada parti kecil di Sabah.

"Calon yang anda mungkin telah dengar ialah Dr Mahathir.

"Kami harap kita akan mempunyai perdana menteri pada pukul 5 petang hari ini," kata beliau.

Artikel Berikut

Artikel Lain