suria

Sultan Selangor perkenan Azmin jadi menteri besar

SHAH ALAM: Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah memberi perkenan untuk melantik Datuk Seri Mohamed Azmin Ali sebagai Menteri Besar Selangor bagi penggal kedua.

Setiausaha Sulit kepada Sultan Selangor, Datuk Mohamad Munir Bani berkata istiadat pelantikan dan angkat sumpah menteri besar Selangor akan diadakan di Balairung Seri, Istana Alam Shah, Klang, pukul 3 petang Jumaat.

“Sultan Selangor juga berkenan supaya pentadbiran kerajaan negeri Selangor dibentuk secepat mungkin selepas mendapat mandat daripada rakyat demi memastikan kelancaran pentadbiran kerajaan negeri dan keharmonian serta kesejahteraan rakyat,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Mohamad Munir berkata Mohamed Azmin telah menghadap Sultan Sharafuddin pada pukul 12 tengah hari untuk  menyembah maklum kepada baginda mengenai keputusan Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) bagi Selangor dan situasi semasa dalam pimpinan Pakatan Harapan.

Menurutnya, Mohamed Azmin juga telah menyembah maklum kepada baginda bahawa beliau telah mendapat sokongan daripada anggota-anggota Dewan Negeri Selangor bagi parti Pakatan Harapan untuk dilantik sebagai Menteri Besar Selangor. - Bernama

Sultan Selangor, Azmin Ali, PRU14

Artikel Berikut

Artikel Lain